PNB yakin dapat tangani cabaran walaupun pertumbuhan ekonomi perlahan

Bernama
Februari 20, 2016 00:13 MYT
Hamad Kama Piah berkata, unit edaran ASNB meningkat sebanyak 10.83 bilion tahun lalu, menjadikan keseluruhannya berjumlah lebih 200 bilion unit.
Permodalan Nasional Bhd (PNB) yakin mampu menangani cabaran walaupun pertumbuhan ekonomi negara lebih perlahan tahun ini berikutan kesan daripada faktor domestik dan antarabangsa.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, ketidaktentuan ekonomi dan turun naik pasaran adalah perkara biasa dalam dunia pelaburan dan kewangan seperti dihadapi PNB dan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB).
"Kita yakin, dengan langkah proaktif dan dasar yang dilaksana kepemimpinan serta usaha di peringkat syarikat, kita mampu menangani cabaran berkenaan," kata Hamad Kama Piah.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Malam Anugerah Starz PNB-ASNB 2015, yang mengiktiraf sumbangan dan dedikasi ejen dan pertubuhan dalam pencapaian unit amanah ASNB sepanjang 2015.
Anugerah itu dianjurkan untuk tahun kedua berturut-turut oleh ASNB, anak syarikat milik penuh PNB.
Hamad Kama Piah berkata, unit edaran ASNB meningkat sebanyak 10.83 bilion tahun lalu, menjadikan keseluruhannya berjumlah lebih 200 bilion unit.
Ia mewakili kira-kira 45 peratus daripada jumlah keseluruhan industri.
Menurutnya, pemegang akaun bagi tempoh yang sama pula seramai 12.56 juta, meningkat sebanyak 330,000 akaun.
Jumlah tersebut adalah kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan industri.
"Sepanjang 2015 juga, PNB dan ASNB telah mengagihkan pendapatan dan bonus berjumlah RM14.24 bilion.
"Jumlah aset di bawah pengurusan PNB yang meliputi dana pelabur dan dana proprietari kini lebih RM250 bilion, yang mewakili kira-kira 15 peratus daripada permodalan pasaran negara," katanya.
Di majlis itu, 45 pemenang daripada 15 kategori yang terdiri daripada ejen, pegawai cawangan ASNB serta pertubuhan daripada sektor awam dan swasta diraikan bagi menghargai sokongan dan sumbangan mereka.
Dua anugerah utama, iaitu Anugerah Presiden PNB dan Anugerah ASNB masing-masing dimenangi Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Wong Yoke Ting dari Maybank PWC Plaza Damansara.
Anugerah Presiden diberi berdasarkan prestasi terbaik keseluruhan ejen ASNB manakala Anugerah ASNB diberi kepada eksekutif jualan dan penasihat kewangan yang mencatat jualan tertinggi unit amanah harga berubah ASNB.
#ASB #ASNB #Hamad Kama Piah #Permodalan Nasional Berhad #PNB