Syarikat pelaburan berpangkalan di Singapura, Temasek Holdings (Pte) Ltd, mengumumkan nilai portfolio bersih sebanyak S$242 bilion (S$1 = RM2.99) bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac, 2016, (FY15), susut daripada S$266 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama pada 2015.

Keuntungan bersih kumpulan berkurangan kepada S$8 bilion pada tempoh yang sama berbanding S$14 bilion yang dilaporkan pada 2015, demikian menurut Temasek dalam rebiu operasinya.

Meskipun menyaksikan pasaran tidak menentu dengan persekitaran lebih mencabar, syarikat akan terus menjadi pelabur aktif pada masa depan, kata Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Temasek International (cabang pengurusan firma pelaburan), Lee Theng Kiat dalam satu kenyataan hari ini.

"Kami melabur S$30 bilion dan melepaskan pegangan sebanyak S$28 bilion daripada portfolio kami tahun lepas yang mencerminkan rancangan kami untuk menyusun semula portfolio kami," katanya.

Bagi tahun kewangan 2015, Amerika Syarikat menyumbang sejumlah besar pelaburan baharu semasa tahun berkenaan diikuti dengan China.

"Kami meningkatkan kedudukan kami di dalam sektor logistik AS melalui pelaburan sebanyak US$450 juta dalam pengedar komoditi dan kimia khusus berpangkalan di AS serta akan terus melabur dalam bidang bioteknologi," katanya.

Mengenai China, yang menyumbang bahagian terbesar dalam pelaburan di Asia, Lee berkata pelaburan berkenaan meliputi pengeluar tayar domestik, platform logistik berasaskan teknologi dan data yang memberi tumpuan terhadap e-dagang dan sektor perkhidmatan kewangan.

Temasek merancang untuk membuka pejabat pengurusan kedua akhir tahun ini di San Francisco yang memberi ruang kepada syarikat dalam peluang pelaburan berkaitan teknologi di Lembah Silicon.

Mengenai masa depan, Ketua Perkhidmatan Kewangan dan Pengarah Urusan Kanan Temasek di China, Png Chin Yee berkata syarikat akan terus mengekalkan fleksibiliti kewangan sepenuhnya bagi meningkatkan kadar pelaburan.

"Kami juga akan memanfaatkan peluang pelaburan yang mungkin muncul dalam persekitaran yang mencabar," katanya.