KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd terus optimis secara berhati-hati bahawa ia akan mencatatkan keputusan yang lebih baik pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 (tahun kewangan 2023) selepas mengurangkan kerugiannya sebanyak separuh pada tahun kewangan 2022 dan melaporkan prestasi yang lebih baik pada suku pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Charles Brewer berkata kumpulan telah mencapai kemajuan yang kukuh dalam inisiatif transformasinya dan kembali mencatatkan keuntungan walaupun menghadapi cabaran, dengan hampir semua segmen perniagaan mencatatkan keuntungan kecuali segmen bungkusan dan runcit.

Segmen itu turut termasuk kurier, mel, antarabangsa, logistik dan penerbangan.

Beliau berkata pos, yang merupakan gabungan segmen bungkusan dan mel, menyumbang 63 peratus kepada pendapatan, diikuti logistik (17 peratus), penerbangan (13 peratus) dan lain-lain (kira-kira tujuh peratus).

"Dalam perjalanan ke arah mencatatkan keuntungan, jika anda melihat kepada perkara yang perlu anda selesaikan untuk mendapatkan keuntungan, ia adalah segmen bungkusan. Jika anda melihat kepada peluang, segmen runcit mempunyai peluang untuk mewujudkan nilai yang signifikan untuk kami jika kami melaksanakannya dengan baik," katanya kepada pemberita pada majlis makan tengah hari di sini semalam.

Walaupun mencatatkan pendapatan yang rendah, Pos Malaysia berjaya mengurangkan separuh kerugian bersihnya kepada RM167.67 juta pada tahun kewangan 2022 daripada kerugian bersih sebanyak RM335.73 juta pada tahun kewangan 2021.

Brewer berkata laluan untuk mencatatkan keuntungan untuk runcit adalah jangka pendek hingga sederhana; bagaimanapun, untuk bungkusan ia agak sukar.

Katanya Pos Malaysia sedang mengenal pasti peluang untuk mewujudkan lebih nilai bagi runcit sampingan -- apa yang telah dilakukan oleh pengendali pos lain dengan mentransformasikannya untuk melakukan perkara lain seperti perbankan, sains hayat, insurans, kopi, farmasi dan banyak lagi.

"Bagi segmen kurier, ia adalah mengenai jumlah yang anda bawa dan harga jualan. Sehingga suku ketiga tahun lepas, kami berada di landasan untuk mengembalikannya mencatatkan keuntungan, tetapi kemudian jumlahnya menurun dengan ketara.

"Selepas Perintah Kawalan Pergerakan ditarik balik dan sektor runcit dibuka, ramai pelanggan kembali kepada runcit, secara fizikal. Oleh itu, jumlah yang kira-kira 75 juta bungkusan sebulan kini mungkin sekitar 45 juta," katanya.

Beliau berkata ketika ini perkhidmatan kurier didominasi oleh dua penggiat e-dagang utama di negara ini yang mengamalkan "pelitupan" dengan tidak membenarkan pelanggan untuk memilih perkhidmatan kurier mereka.

Brewer berkata pihak berkenaan menguasai kira-kira 50 peratus daripada bahagian pasaran manakala Pos Malaysia pada sekitar 15 hingga 20 peratus.

Sehubungan itu, beliau berkata pengawal selia perlu mengawal selia pasaran ini, dan dalam hal ini, Pos Malaysia telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

"Pada dasarnya, terdapat enam atau tujuh aspek yang kami mohon kepada pihak pengawal selia untuk dikawal selia. Tetapi, aspek utama termasuk jumlah lesen berikutan terlalu banyak penggiat di Malaysia. Secara perbandingan, terdapat lebih 120 penggiat di Malaysia, kira-kira 40 di Indonesia dan lebih 30 di Thailand.

"Aspek kedua adalah keperluan untuk mengawal selia harga jualan supaya penggiat utama tidak sewenang-wenangnya menurunkan harga yang tidak munasabah untuk menyingkirkan penggiat lain manakala aspek ketiga adalah amalan pelitupan.

"Kesemua ini bagi memastikan pengguna terbela dan industri kurier tempatan dilindungi, terutamanya memastikan pekerja masing-masing mempunyai pekerjaan dan diberikan ganjaran yang sewajarnya," katanya.

Beliau berkata syarikat kurier yang mempunyai kira-kira 80,000 guna tenaga tidak penuh, ketika ini dilaporkan mencatat kerugian, dan setakat ini sebilangan besar syarikat itu di seluruh negara telah disenaraikan di bawah status Nota Amalan 17.

Sehubungan itu, Brewer berkata situasi itu perlu diselesaikan atau prospek industri tersebut benar-benar suram.

Berhubung maklum balas daripada pengawal selia, beliau menjelaskan ia positif bersama-sama kerajaan baharu kerana mereka mendengar dan memahami isu berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, melihat kepada pengawalseliaan dalam sektor perbankan dan telekomunikasi yang melindungi penggiat tempatan secara proaktif, terdapat keperluan untuk pengawal selia memperkasa dan melaksanakan perkara yang sama terhadap perkhidmatan kurier.

-- BERNAMA