KUALA LUMPUR: MIDF Research menyemak semula unjuran hasil dan pendapatan MYEG Services Bhd. lebih tinggi berdasarkan kepada prospek kumpulan yang positif setelah unitnya dilantik sebagai pengedar eksklusif bagi Sistem Ujian Nafas COVID-19 BreFence Go (BreFence Go) di Malaysia.

Semalam, MYEG mengumumkan sub-subsidiari milik penuhnya, MYEG Medical Services Sdn. Bhd. memeterai perjanjian komprehensif pengedaran eksklusif dengan Breathonix Pte Ltd selama 3 tahun bagi tujuan pemasaran, jualan dan pengedaran berkaitan produk tersebut.

Malah, pihak pengurusan juga telah memberi panduan bahawa BreFence Go akan menelan kos RM100 bagi setiap ujian yang dijalankan, lebih murah berbanding kos biasa ujian RT-PCR/Rapid RT-PCR yang menelan kos RM200 hingga RM400.

Menurut MIDF Research, berdasarkan harganya yang kompetitif dan hasil ujian yang cepat, penggunaan BreFence Go adalah relevan dalam kalangan pengembara dan dilaksanakan di lokasi yang mempunyai jumlah trafik tinggi seperti pusat beli-belah dan pusat imigresen.

"Ini membolehkan kami menaikkan unjuran hasil dan pendapatan MYEG bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dan FY23 antara 5.2 hingga 11.1%.

"Kami turut melancarkan tahun asas penilaian kepada FY22 dan memperoleh harga sasaran yang disemak semula sebanyak RM1.27 (sebelum ini, RM1.20)," katanya dalam nota kajian hari ini.

Untuk mengendalikan ujian BreFence Go, pengembara perlu meniup ke dalam corong injap sehala pakai buang yang dipasang pada pencontoh nafas.

Nafas yang dihembus dimasukkan ke dalam spektrometer jisim untuk mengukur tahap sebatian organik meruap (VOC), bagi membolehkan perisian algoritma menilai biomarker VOC dan keputusan dikeluarkan dalam tempoh 1 minit.

Jika keputusan positif COVID-19 dikesan, pengembara perlu menjalankan ujian calitan COVID-19 Tindak Balas Berantai Polimerase (PCR) untuk pengesahan.

Secara keseluruhan MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap MYEG berikutan prospek jangka panjang kumpulan yang positif disokong jumlah transaksi e-kerajaan yang semakin meningkat dan pengembangan dalam perniagaan berkaitan konsesi.

"Selain perkhidmatan pengangkutan jalan secara dalam talian, kami berpendapat, segmen lain menerusi perkhidmatan teknologi kesihatan, inisiatif blockchain dan penyertaan serta kerjasama di peringkat global akan memberi impak positif kepada kumpulan tidak lama lagi," jelasnya.

Setakat 9.17 pagi ini, saham MYEG menokok 1 sen atau 0.96% kepada RM1.05 dengan 531,500 saham diniagakan.


Artikel asal di DagangNews.com