Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
BISNES

Potensi kerjasama Malaysia-Ethiopia besar - PM Anwar

Hafiz Marzukhi 20/11/2025 | 10:20 MYT
Menurut Anwar, Malaysia bersedia membuka akses produk eksport seperti ayam dan makanan ternakan serta menawarkan kepakaran penanaman sawit kepada Ethiopia. - Foto Bernama
ADDIS ABABA: Potensi kerjasama antara Malaysia dan Ethiopia adalah besar namun hubungan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara ketika ini dilihat masih di tahap permulaan.


Ringkasan AI
  • Malaysia bersedia membuka akses produk eksport seperti ayam dan makanan ternakan serta menawarkan kepakaran penanaman sawit kepada Ethiopia bagi memperluaskan hubungan ekonomi.
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan hasrat membawa hubungan dengan Ethiopia ke tahap strategik merangkumi peluasan perdagangan, pelaburan, dan kerjasama ekonomi baharu.
  • Ethiopia merupakan rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di Afrika pada 2024 dan merupakan negara pertama dilawat oleh Perdana Menteri dalam siri lawatan ke benua Afrika; seterusnya ke Afrika Selatan dan Kenya sebelum pulang ke Malaysia.


Oleh itu kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia bersedia membuka akses kepada produk eksport seperti ayam dan makanan ternakan ke Ethiopia serta menawarkan kepakaran seperti kaedah penanaman sawit kepada negara berkenaan.

"Kami bertekad membawa hubungan kedua-dua negara ke fasa lebih strategik merangkumi peluasan perdagangan, pelaburan serta pemerkasaan kerjasama ekonomi baharu," kata Anwar.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di sini sebelum bergerak ke Johannesburg, Afrika Selatan bagi memulakan lawatan kerja hari ini sehingga 23 November depan.

Antara agenda utama dalam lawatan ke Afrika Selatan termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20.

Selain itu, pada hari terakhir lawatan rasmi di Ethiopia, beliau turut berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Mahmoud Ali Youssouf di ibu pejabat blok tersebut di Addis Ababa.

Anwar juga sempat memberi syarahan khas bagi Kesatuan Belia Pan-Afrika dan Majlis Belia Ethiopia dan bertemu pemimpin Islam di negara tersebut sebelum menamatkan lawatan beliau di Addis Ababa.

Ethiopia tersenarai sebagai rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2024 dan adalah negara pertama dilawati Perdana Menteri dalam siri lawatan beliau ke benua itu.

Selepas selesai urusan di Johannesburg, Perdana Menteri akan meneruskan rangka lawatan ke Nairobi, Kenya dari 23 hingga 24 Nov sebelum pulang ke Malaysia.

Dalam siri lawatan kali ini, beliau diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa serta delegasi perniagaan.






#ethiopia #Anwar Ibrahim #Afrika Selatan #lawatan rasmi #Malaysia #terkini