Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta jaminan kerajaan berhubung kelulusan bagi permohonan lesen oleh syarikat penerbangan Rayani Air.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata jaminan itu akan membolehkan pemilik syarikat penerbangan tersebut dapat mengemukakan pelabur baharu untuk menyuntik dana dan seterusnya mengambil alih syarikat itu.

"Dengan jaminan kelulusan lesen itu, pemilik boleh menggunakan lesen ini untuk mencari rakan kongsi untuk membayar segala tunggakan termasuk bayaran gaji, elaun dan bayaran balik tiket penumpang sebelum ini.

"Perkara ini diharap dapat diselesaikan secara baik dan segera," katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Turut hadir wakil peguam kepada PPIM Mohamad Siddiq Azani, wakil pekerja Rayani Air, Azharudin Mohd dan wakil pelanggan Azlan Syan Latang.

Pada minggu lepas, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata syarikat penerbangan itu perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) jika ia berhasrat untuk memulakan semula operasinya.

Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air Alagendrran dalam kenyataan sebelum ini menyatakan bahawa syarikat itu sedang berusaha keras agar DCA dan Mavcom memberikan peluang kedua untuk beroperasi.

Sementara itu, Azharudin Mohd yang mewakili 415 kakitangan Rayani Air mendakwa majikannya gagal membayar tunggakan gaji bersama elaun berjumlah hampir RM8 juta.

"Saya difahamkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Selangor bahawa pemilik perlu membayar gaji kakitangan, bukan sahaja pada Mac dan April, malah perlu membayar sehingga 11 Julai lalu.

"Difahamkan juga pihak Rayani Air akan mengeluarkan notis pemberhentian pada Rabu lepas dan akan diposkan kepada semua kakitangan, namun sehingga ke hari ini, kami masih belum menerima apa-apa.

"Menurut Jabatan Tenaga Kerja, pekerja perlu diberikan pampasan sebulan gaji selepas notis berkenaan dikeluarkan," kata Azharudin.

Menurut Azlan Syan Latang yang mewakili 252 pelanggan yang menuntut bayaran balik tiket penerbangan, mendakwa mereka mengalami kerugian kira-kira RM173,162, dengan tuntutan tertinggi seorang pelanggan mencecah RM12,000.

Wakil peguam kepada PPIM, Mohamad Siddiq Azani berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat dengan pihak pembeli tiket untuk mengumpul maklumat sebelum mengambil tindakan mahkamah terhadap syarikat Rayani Air jika tuntutan bayaran mereka tidak diselesaikan dengan segera.