[TERKINI] DUN Sabah Dibubar — PRN Ke-17 Bermula! Ikuti Perkembangan di Sini
BISNES

Projek kritikal, kos sara hidup dijangka tumpuan Belanjawan 2026 - Fadillah

Bernama 06/10/2025 | 07:37 MYT
Fadillah turut menjangkakan kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada sektor pendidikan dan kesihatan yang lazimnya menjadi teras penting dalam setiap pembentangan belanjawan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Jumaat ini dijangka memberi tumpuan kepada projek-projek kritikal bagi menangani isu banjir, bekalan air dan tenaga, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, beliau turut berharap isu kos sara hidup diberikan perhatian khusus dalam belanjawan kali ini, memandangkan kerajaan sentiasa berusaha membantu rakyat menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa.

"Tumpuan Belanjawan 2026 kali ini lebih kepada usaha membantu rakyat, termasuk melaksanakan projek-projek kritikal berkaitan banjir, bekalan air dan tenaga, selain menyediakan pelbagai bentuk sokongan kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Inovasi dan Pengkomersilan Kebangsaan (NICE 2025) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Fadillah turut menjangkakan kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada sektor pendidikan dan kesihatan yang lazimnya menjadi teras penting dalam setiap pembentangan belanjawan.

Mengulas peruntukan kepada Sarawak, Fadillah turut menjangkakan Belanjawan 2026 akan terus memberi fokus kepada negeri itu serta Sabah.

"Saya yakin di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, memandangkan keluasan Sabah dan Sarawak yang besar, peruntukan sedia ada setiap tahun pasti akan ditingkatkan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, setiap negeri pastinya mengharapkan peruntukan bersesuaian bukan sahaja bagi tujuan pentadbiran, tetapi juga untuk melaksanakan projek-projek yang mampu menyelesaikan permasalahan setempat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadualkan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada Jumaat ini.

Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan, penyediaan Belanjawan Negara 2026 akan disesuaikan dengan keutamaan ekonomi setiap negeri, dan bukan hanya ditentukan di peringkat kementerian.

Langkah itu bertujuan memastikan pertumbuhan ekonomi berjalan lancar tanpa mengabaikan keperluan rakyat, khususnya dalam menangani isu kos sara hidup.

-- BERNAMA



#kos sara hidup #Fadillah Yusof #Belanjawan 2026 #sektor pendidikan