BISNES
Prospek hartanah Malaysia separuh penggal kedua 2025 kekal kukuh

HLIB berkata Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka merancakkan permintaan industri di Johor, memberi manfaat kepada sektor hartanah. -Gambar fail/JS-SEZ
KUALA LUMPUR: Prospek hartanah Malaysia bagi separuh kedua 2025 (2H 2025) kekal positif, dengan pelbagai peluang merentasi segmen utama, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).
Ringkasan AI
- Prospek hartanah Malaysia bagi 2H 2025 kekal positif dengan sokongan projek seperti JS-SEZ dan RTS yang dijangka merancakkan permintaan industri dan kediaman.
- Negeri Sembilan muncul sebagai alternatif kos berdaya saing kepada Selangor dalam segmen perindustrian, manakala sektor pejabat dan hospitaliti menunjukkan pemulihan.
- HLIB mengekalkan penarafan overweight terhadap sektor hartanah, menyarankan pelabur melihat peluang meluas merentasi segmen industri, runcit, pejabat dan pelancongan.
“Di Negeri Sembilan, segmen perindustrian semakin rancak apabila negeri itu menempatkan dirinya sebagai alternatif kos berdaya saing kepada Selangor, dengan Matrix Concepts Holdings Bhd dan Sime Darby Property Bhd berada dalam kedudukan baik untuk memenuhi permintaan,” katanya.
HLIB menyatakan Matrix sudah pun menyaksikan sambutan kukuh terhadap pelancaran industri baharu dalam projek perbandaran Malaysia Vision Valley (MVV).
Selain itu, sektor pejabat juga menunjukkan tanda-tanda pemulihan, memberi manfaat kepada pemilik hartanah seperti Sunway dan IOI Properties.
Sementara itu, persekitaran politik Malaysia yang stabil meningkatkan lagi daya tarikan negara sebagai destinasi pelancongan berbanding negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, memberi manfaat kepada pemain hospitaliti yang mempunyai pendedahan besar dalam sektor hotel, pusat beli-belah dan taman tema, khususnya IOI Properties dan Sunway.
Sehubungan itu, HLIB mengekalkan penarafan ‘overweight’ ke atas sektor hartanah, dengan menyifatkan ia sedang berada dalam kitaran kenaikan berbilang tahun yang dipacu oleh peningkatan pendapatan isi rumah, sokongan dasar serta peralihan Malaysia ke arah ekonomi berasaskan nilai tinggi.
HLIB berkata sektor itu telah melalui transformasi struktur dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan peluang baharu muncul dalam segmen industri, runcit, pejabat dan hospitaliti.
“Sehubungan itu, pelabur harus melihat sektor ini dengan perspektif lebih luas – bukan hanya terhad kepada permintaan kediaman – untuk merebut peluang pertumbuhan baharu ini.
"Kepelbagaian ini menyediakan pemaju dengan tiang pertumbuhan pelbagai serta aliran hasil baharu, sekali gus mengukuhkan keterlihatan pendapatan dan mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana segmen tunggal.
“Pilihan utama kami ialah IOI Properties, OSK Holdings Bhd, Sunway dan Sime Darby Property,” tambahnya.
— BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami