PELANGGAN Proton boleh menikmati tawaran harga tanpa Cukai SST untuk semua kereta Proton kerana syarikat memutuskan untuk melanjutkan tempoh penyerapan cukai tersebut bagi semua kereta bagi tempoh sebulan lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa berkata, selain melanjutkan tempoh penyerapan cukai SST, Proton turut menawarkan tambahan promosi iaitu rebat untuk model terpilih.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana memperkenalkan SST kerana ia menurunkan harga bagi semua kereta Proton. Syarikat telah memutuskan untuk melanjutkan tawaran harga tanpa SST untuk tempoh sebulan lagi kerana kami ingin menawarkan penjimatan kepada semua pelanggan.

"Di samping itu, kami juga mahu menarik pembeli berpotensi dengan tawaran rebat sehingga RM3,000 untuk model terpilih. Pada akhirnya, matlamat kami adalah mengekalkan tahap jualan yang konsisten di mana kami akan menambah Proton X70 ke rangkaian kami pada penghujung 2018," katanya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, pada 7 September lalu, Proton telah mengadakan sesi pratonton untuk bahagian luaran dan dalaman Proton X70 yang baharu kepada para media di Malaysia.

"Pada hari berikutan, tempahan SUV Proton pertama dibuka secara rasmi di mana pusat cawangan dan pengedar mula menerima deposit daripada pelanggan," katanya.