Proton jangka Saga MC3 akan terajui pasaran Segmen-A ASEAN tahun depan

Dr Li Chunrong berkata MC3 telah menerima lebih daripada 30,000 tempahan sejak pelancarannya minggu lepas. - Gambar Bernama
PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd menjangka model Proton Saga MC3 yang baru dilancarkan akan menjadi model segmen-A terkemuka dalam pasaran ASEAN tahun depan.
Ringkasan AI
- Proton menjangka model terbaru Saga MC3 bakal menjadi model terkemuka dalam pasaran ASEAN pada tahun depan dengan lebih daripada 30,000 tempahan sejak pelancarannya minggu lepas.
- Kenderaan elektrik (EV) Proton, e.MAS 7, mencatatkan penjualan tertinggi di Malaysia selepas dilancarkan pada Jun 2024, dengan 8,239 unit terjual sehingga November 2025, sementara e.MAS 5 pula menerima lebih daripada 10,000 tempahan dengan cepat.
- Proton menumpukan perhatian kepada EV dengan keyakinan bahawa jenama ini akan menjadi jenama EV terkemuka di Malaysia, sejajar dengan pelan hala tuju EV Proton, yang ditegaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong, semasa berucap pada pelancaran Pameran Teknologi Proton.
"Proton e.MAS 5 menjadi EV mampu milik pertama di Malaysia, menerima lebih daripada 10,000 tempahan dalam masa singkat.
"e.MAS adalah tumpuan utama dalam pelan hala tuju EV Proton. Kami percaya jenama ini akan menjadi jenama EV nombor satu di Malaysia tidak lama lagi," kata Li semasa berucap pada pelancaran Pameran Teknologi Proton di sini hari ini.
Pameran itu memberi peluang kepada pengunjung untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai teknologi yang menggerakkan model Proton.
Kumpulan itu dalam kenyataan hari ini berkata pameran berkenaan menghimpunkan pencapaian kejuruteraan paling penting syarikat di bawah satu bumbung sekali gus memberi akses eksklusif untuk melihat dengan lebih dekat inovasi terkini dalam elektrifikasi, pembangunan rangkaian kuasa dan kesambungan pintar
"Antara tarikan utama yang dipamerkan adalah platform seni bina modular global (GMA), bateri Short Blade serta enjin dan transmisi kenderaan elektrik hibrid pemalam (PHEV) terbaharu Proton serta pameran kesinambungan pintar oleh Aco Tech Sdn Bhd yang merangkumi teknologi realiti terimbuh (AR) dan kecerdasan buatan (AI).
"Barisan model terkini Proton seperti Proton X50, Proton e.MAS 5 dan Proton Saga serba baharu juga akan dipamerkan, bersama-sama sebuah model yang akan membuat penampilan pertama kepada umum sebelum pelancarannya pada awal 2026," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


