KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta nasional Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) kini secara rasmi kembali ke Afrika Selatan selepas 10 tahun keluar daripada pasaran negara itu, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Roslan Abdullah.

Beliau berkata pertumbuhan dalam jumlah eksport penting bagi rancangan perkembangan Proton manakala jualan eksport kekal sebagai bahagian penting dalam rancangan perniagaannya.

"Tatkala syarikat itu terus menuntut semula bahagian pasaran dalam pasaran automotif Malaysia, ia juga perlu mengeksploitasi potensi yang terpendam dalam pasaran antarabangsa untuk menuju ke arah menjadi jenama automotif terkemuka di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan bersama pada Isnin.

Roslan berkata bagi tahun 2022, jualan eksport pada akhir bulan Ogos berjumlah 4,040 unit, meningkat sebanyak 33.9 peratus berbanding dengan jumlah jualan bagi tahun 2021.

"Dengan penambahan Afrika Selatan dalam senarai pasaran eksport, syarikat berharap dapat menamatkan tahun ini dengan peratusan pertumbuhan yang lebih tinggi.

"Proton sedang giat mengembangkan jualan eksport kerana kami percaya ia adalah salah satu tonggak kepada peningkatan jumlah keseluruhan kami dan matlamat kami adalah untuk mencapai 6,000 jualan eksport tahun ini," tambahnya.

Pelancaran semula jenama yang turut menyaksikan Proton X70 dan Proton X50 membuat penampilan di Afrika Selatan itu, dianjurkan oleh Combined Motor Holdings Ltd (CMH), pengedar rasmi Proton di negara ini.

"Kedua-dua model berkenaan kini boleh didapati dalam model lengkap dan dipasang siap sepenuhnya (CBU) dan akan disertai oleh Proton Saga kemudiannya pada awal tahun 2023," jelas Roslan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CMH Jebb McIntosh berkata syarikat mengambil peluang untuk membawa jenama Proton kembali ke Afrika Selatan.

"Apabila jenama Proton terbuka untuk pengedaran, CMH mengambil peluang atas beberapa sebab, terutamanya apabila kami mendapati terdapat jurang dalam pasaran kenderaan utiliti sukan (SUV) yang berkualiti pada harga yang berpatutan.

"Terdapat banyak jenama mewah yang menjual SUV di Afrika Selatan, tetapi kebanyakannya tidak mampu dimiliki oleh pembeli kereta biasa di sini," katanya.

Automotif | Proton kembali ke Afrika Selatan selepas 10 tahun

Beliau berkata syarikat merancang menyediakan 25 pengedar dalam tempoh enam bulan sambil menambah sebanyak 17 cawangan pengedar telah pun menjalani latihan jualan dan teknikal.

"Rangkaian penuh alat ganti juga sudah tersedia di pusat pengedaran kami. Ini bermakna pelanggan kami boleh membeli kenderaan ini dengan yakin," tambahnya.

-- BERNAMA