KUALA LUMPUR: Proton memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan smart Automobile di Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2023 bagi kedua-dua pihak mengkaji kemungkinan untuk memasang kenderaan smart secara tempatan di kilang Proton di Tanjung Malim.

Perjanjian tersebut dimeterai tepat 20 bulan selepas kedua-dua pihak menandatangani dokumen serupa tahun lepas yang membawa kepada pelantikan Proton sebagai pengedar rasmi untuk kenderaan smart di Malaysia dan Thailand.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, MoA baharu antara Proton dan smart Automobile membawa kerjasama mereka ke tahap baharu kerana kini pihaknya dalam perbincangan mengenai pemasangan model smart di Malaysia.

"Sebagai pengeluar automotif, Proton sentiasa berhasrat untuk meningkatkan penglibatan kami dengan smart, iaitu bukan sekadar pengedar untuk rantau ASEAN sahaja, kerana terdapat banyak kecekapan untuk dimanfaatkan kerana kedua-dua syarikat adalah ahli Kumpulan Geely," katanya dalam kenyataan media di sini.

Beliau berkata, Proton komited untuk memperkenalkan lebih banyak Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) pada masa hadapan.

"Selepas pelancaran Proton X90, NEV pertama kami, kami teruja dengan peluang untuk mengetahui lebih lanjut tentang EV daripada kerjasama kami dengan smart.

"Melangkah ke hadapan, semua aktiviti pengeluaran kami akan tertumpu di Automotive High Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim, yang juga akan membantu dalam matlamat kami untuk menjadikan Malaysia hab EV serantau," ujar beliau.



Berikutan pemeteraian MoA pada 2022, Proton mengorak langkah besar dalam usahanya untuk mewakili smart di rantau ini.

Perjanjian Pengedaran Am (GDA) ditandatangani pada Ogos tahun lalu, diikuti dengan pembentukan PRO-NET, anak syarikat Proton untuk mewakili kepentingan syarikat dalam ruang EV.

Sejak itu, Proton menghantar kumpulan pekerja ke China untuk menjalani latihan sambil kerja khusus untuk industri EV untuk membina kumpulan bakat bagi rancangan pasaran EV masa depannya sendiri.



Ia juga telah menguji smart #1 secara meluas di Malaysia untuk mendapatkan pengetahuan tentang prestasinya apabila dipandu dalam iklim yang unik dan keadaan jalan raya di sini.

Sementara itu, PRO-NET telah menandatangani MoU dengan Gentari iaitu cabang tenaga boleh diperbaharui Petronas, membina hubungan kerja dengan pemegang kepentingan ekosistem EV lain, melantik sepuluh pengedar smart serta memperkenalkan smart #1 kepada orang ramai di pelbagai acara.

Langkah terbaharu ialah pelancaran Hello smartApp baru-baru ini pada 14 September, menawarkan empat ciri pertama di Malaysia termasuk penyepaduan 70% peta pengecasan daripada pengendali pengecasan, untuk mengenalpasti ketersediaan, tempahan dan pembayaran untuk pengecas EV dalam negara. - DagangNews.com