BISNES

Proton perluas strategi elektrifikasi dengan menceburi segmen PHEV

Bernama 04/02/2026 | 15:00 MYT
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani melancarkan Majlis Perasmian Proton e.Mas 7 PHEV di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Proton memperluas strategi elektrifikasinya dengan menceburi segmen kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV), meletakkan Proton e.MAS 7 PHEV baharu sebagai tawaran utama untuk meluaskan pasaran melangkaui kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya.


Ringkasan AI
  • Proton menceburi segmen kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) dengan melancarkan Proton e.MAS 7 PHEV sebagai tawaran utama, bertujuan meluaskan pasaran di luar kenderaan elektrik sepenuhnya.
  • Langkah syarikat ini mencerminkan pendekatan pelbagai laluan terhadap elektrifikasi, memperluaskan mobiliti yang praktikal sambil menyokong peralihan negara ke arah pengangkutan yang lebih bersih.
  • Proton e.MAS 7 PHEV ditawarkan dalam tiga varian dengan harga berbeza, menawarkan jarak pemanduan keseluruhan sehingga 1,000 kilometer dan reka bentuk bergaya kenderaan utiliti sukan (SUV) moden.


Pengerusi Proton Tan Sri Syed Faisal Albar berkata langkah syarikat menceburi segmen PHEV mencerminkan pendekatan pelbagai laluan terhadap elektrifikasi, yang bertujuan menangani keperluan mobiliti yang praktikal sambil menyokong peralihan negara ke arah pengangkutan yang lebih bersih.

"Teknologi PHEV berfungsi sebagai penghubung yang berkesan antara kenderaan enjin pembakaran dalaman konvensional dan kenderaan elektrik bateri sepenuhnya, terutama apabila infrastruktur pengecasan terus dibangunkan di seluruh negara," katanya pada majlis pelancaran Proton e.MAS 7 PHEV di sini hari ini.

Proton e.MAS 7 PHEV dilancarkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Kenderaan Proton e.Mas 7 PHEV dipamerkan sempena majlis perasmiannya di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. - Foto BERNAMA


Walaupun tiada sasaran jualan khusus ditetapkan untuk model PHEV itu, model berkenaan dijangka menerima sambutan pasaran yang positif, disokong oleh permintaan kukuh terhadap penawaran kenderaan elektrik yang terdahulu oleh Proton.

"Kenderaan EV kami, e.MAS 7, telah menunjukkan prestasi yang sangat baik. Lebih 9,000 unit e.MAS 7 telah terjual, menjadikannya model EV tunggal paling laris di Malaysia," katanya.

Proton e.MAS 7 PHEV ditawarkan dalam tiga varian iaitu Prime, Premium dan Premium Plus, masing-masing berharga RM109,800, RM123,800 dan RM129,800, dengan perbezaan utama tertumpu kepada kapasiti bateri, jarak pemanduan elektrik dan kemudahan pengecasan.

Dikuasakan oleh gabungan enjin petrol dan motor elektrik, model itu menawarkan jarak pemanduan keseluruhan sehingga 1,000 kilometer, manakala varian Premium Plus mampu mencapai sehingga 1,065 kilometer.

Berdasarkan perspektif reka bentuk, model ini menampilkan gaya kenderaan utiliti sukan (SUV) moden dan ditawarkan dalam lima pilihan warna luaran iaitu Obsidian Black, Lithium White, Mercury Silver, Galena Grey dan Aquamarine Blue.

-- BERNAMA




#Proton #segmen PHEV #kenderaan elektrik EV #Syed Faisal Albar