KUALA LUMPUR: Kerajaan selepas ini harus memberikan fokus untuk mempertingkatkan perolehan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) yang lebih penting untuk memperkukuh ekonomi negara.

Kata calon Pakatan Harapan (PH) P.104 Subang, Wong Chen, ia dapat dilakukan dengan memastikan korupsi dapat dibanteras supaya keyakinan pelabur dan kepakaran tempatan dapat dikembalikan.

Menurutnya, negara kita sudah kurang lebih 40 tahun terlalu menumpukan kepada Pelaburan Langsung Asing (FDI) ketika DDI kita menurun setiap tahun apabila berlaku aliran keluar kepakaran dan modal negara.

“FDI ini penting tapi DDI lebih penting, kita lihat ekonomi di Jepun, Korea Selatan dan China misalnya dipacu oleh DDI.

“Pelabur luar datang sini lihat pekerja ada, teknologi ada, infrastruktur ada dan FDI masuk, tetapi DDI kita keluar kerana tak ada kepercayaan terhadap kerajaan bahawa kita dapat mengatasi rasuah,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Jadi, kerajaan mana dan bagaimana pun yang akan terbentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 15 nanti, keutamaan harus diberi kepada mengatasi masalah rasuah, barulah pelabur tempatan akan rasa lebih selamat dan tidak ditekan oleh keperluan untuk membuat ‘bayaran bawah meja’ dan seumpamanya.

Dana tersebut boleh digunakan untuk disalur kepada pekerja, meningkatkan tangga gaji mereka dari kelas rendah ke pertengahan dan mereka dapat berbelanja lebih yang akhirnya membentuk kitaran ekonomi yang lebih baik.

“Dan kita perlu lebih banyak syarikat jagoan Malaysia, kita ada lah beberapa seperti CIMB, Maybank dan Air Asia tetapi kita perlukan lebih lagi,” katanya.

Perolehan Pelaburan Terus Domestik (DDI) harus lebih diutamakan - Wong Chen