LABUAN: Penubuhan Pulau Banggi, Sabah sebagai zon perdagangan bebas digital (DFTZ) berupaya membantu merangsang ekonomi negeri berkenaan berikutan terletak pada kedudukan yang strategik di laluan perkapalan antarabangsa.

Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata pulau berkenaan juga berupaya menjadi 'Gerbang Emas' kepada pasaran Indonesia dan Filipina.

Menurutnya Pulau Banggi adalah pelabuhan semula jadi, dan cadangan penubuhannya sebagai DFTZ akan membantu pulau itu untuk menerima teknologi dan kepakaran paling cekap bagi memenuhi keperluan masa depan, mewujudkan industri dan pekerjaan baharu, di samping memacu aktiviti komersial di wilayah utara Sabah.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk 'Membasmi Kemiskinan Menerusi Gerbang Emas Asia Tenggara: Meningkatkan Kembali Peluang Pekerjaan di Utara Sabah,' bersempena dengan Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan 2023 (Wilayah Borneo) di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Geoffrey berkata cadangan untuk mentransformasi Pulau Banggi sebagai pulau perdagangan bebas digital yang pertama di Malaysia telah kerap kali dilakukan.

"Cadangan terkini oleh Halun Global Sdn Bhd dan terdapat dua rakan kongsi yang bersedia untuk membantu kerajaan negeri Sabah untuk menjadikan projek ini sebagai satu realiti," katanya.

Dua rakan niaga yang mempunyai potensi adalah China Construction Bank (CCB) cawangan Labuan dan Neurogine Group Sdn Bhd (Neurogine).

Beliau berkata CCB berupaya menyediakan bon hijau, khususnya menerusi dana sepadan serta kemudahan geran sepadan untuk menarik pelaburan langsung asing.

"CCB juga mempunyai pelanggan yang bersedia untuk bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan untuk menjadikannya satu realiti," kata Geoffrey.

Neurogine pula adalah antara syarikat paling berjaya dalam bidang teknologi kewangan di rantau Asia Pasifik.

"Kajian kebolehlaksanaan dan/atau kajian garis dasar boleh dilaksanakan oleh UMS. Idea ini boleh meningkatkan kembali ekonomi Sabah secara keseluruhannya, terutamanya di wilayah utara Sabah.

"Sabah tidak pernah mempunyai projek sebesar ini, dan akan memberikan kesan limpahan kepada banyak pihak," katanya.

--BERNAMA