BISNES
Purata hasil padi KADA meningkat kepada 4.5 tan metrik sehektar

Pengerusi KADA Khalid Abdul Samad berkata peningkatan itu dipacu oleh keadaan cuaca yang lebih baik termasuk musim kemarau yang tidak berpanjangan sepanjang tempoh penanaman. - Gambar fail/BERNAMA
PASIR MAS: Lebih 43.0 peratus atau 10,959 hektar kawasan tanaman padi di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang telah dituai bagi musim 2/2024 mencatatkan purata hasil sebanyak 4.5 tan metrik sehektar, berbanding 3.8 tan metrik sehektar pada musim sebelumnya.
Pengerusi KADA Khalid Abdul Samad berkata peningkatan itu dipacu oleh keadaan cuaca yang lebih baik termasuk musim kemarau yang tidak berpanjangan sepanjang tempoh penanaman.
"Ada kawasan yang mampu mencapai hampir lapan tan metrik sehektar manakala kawasan yang mengalami masalah hanya memperoleh kira-kira tiga tan metrik.
"Justeru, kita akan menjalankan kajian untuk mengenal pasti kelebihan kawasan yang mencatat hasil tinggi dan menggunakan pendekatan sama di kawasan berprestasi rendah. Sasaran kita adalah untuk memastikan semua kawasan mampu, sekurang-kurangnya menghasilkan empat tan metrik sehektar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Korban Peringkat KADA 2025 di sini hari ini.Beliau berkata jumlah keseluruhan kawasan tanaman bagi musim 2/2024 ialah 94.0 peratus daripada keseluruhan 26,664 hektar, dengan baki 56.0 peratus atau 14,146 hektar masih belum dituai.
Mengulas penanaman bagi musim 1/2025, Khalid berkata proses penaburan benih telah diawalkan tahun ini bagi mengelakkan musim menuai bertembung dengan musim tengkujuh sekali gus mengurangkan risiko kerugian kepada para petani.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan iklan projek penambahbaikan struktur sheetpile di Kemubu telah dikeluarkan minggu lepas.
"Setelah proses penilaian dan tapisan dijalankan, kontraktor akan dipilih dan projek dijangka dimulakan awal bulan depan," katanya.
Sementara itu, Khalid berkata KADA sedang meneliti cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membina takungan simpanan air banjir yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan pertanian ketika musim kemarau.
"Cadangan ini satu cabaran besar, tetapi sangat praktikal dengan syarat semua pihak termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran serta kerajaan negeri berganding bahu mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk pelaksanaannya," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami