Jumlah penduduk tua di Malaysia dijangka bertambah dengan Kajian Khazanah Research Institute (KRI) menunjukkan purata usia penduduk meningkat.

Bayi yang lahir pada 2015 dijangka mempunyai jangka hayat sehingga 77.4 tahun bagi perempuan manakala 72.5 tahun bagi lelaki.

Sehubungan itu rakyat Malaysia digesa bersiap sedia dengan menambah simpanan persaraan mereka.

Menurut Pengarah Kajian KRI, Dr Muhammed Abdul Khalid secara purata golongan berusia 51 ke 55 tahun mempunyai simpanan KWSP sekitar RM159,952.

Beliau berkata, berdasarkan kadar faedah dan inflasi, ia hanya mampu bertahan untuk tempoh 15.6 tahun.

Namun, katanya dengan peningkatan jangka hayat, ia bermakna simpanan semasa tidak mencukupi untuk menampung keperluan persaraan mereka.

"Bagaimana kita mahu pastikan golongan tua ini mempunyai simpanan cukup dan mempunyai kehidupan selesa apabila bersara kelak. Banyak perkara boleh dilakukan seperti yang disebut dalam laporan," katanya selepas pembentangan kajian Kedudukan Isi Rumah Siri Dua oleh Khazanah Research Institute (KRI) di sini, pada Isnin.

Menurut kajian KRI, setakat Februari 2016, jumlah simpanan bagi 0.3 peratus teratas pencarum KWSP adalah melebihi jumlah simpanan lebih 3 juta pencarum golongan berpendapatan rendah.

Data turut menunjukkan 58 peratus pencarum KWSP mempunyai pendapatan RM2,000 ke bawah sekaligus menunjukkan golongan ini tidak mempunyai simpanan cukup untuk persaraan.