KUALA LUMPUR: RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) telah menyemak semula prospek penarafan jangka panjang Cahya Mata Sarawak Bhd kepada positif daripada stabil memandangkan profil perniagaan dan kewangan kumpulan itu yang semakin baik.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, RAM Ratings berkata, bahagian pembuatan fosfat baharu syarikat, Cahya Mata Phosphates Industries Sdn Bhd telah memulakan pentauliahan pengeluaran dan akan beralih kepada operasi komersial menjelang pertengahan 2023.

"Bahagian ini dijangka menjadi penyumbang pendapatan yang signifikan daripada fiskal 2024 selain akan mempelbagaikan profil perniagaan berfokuskan pembinaan semasa kumpulan dan mengukuhkan lagi profil kewangannya dengan sumbangan segmen berpotensi mencapai separuh daripada pendapatan kumpulan," katanya.

Sementara itu, agensi penarafan kredit itu menjangkakan kumpulan tersebut akan menerima manfaat langsung daripada peningkatan aktiviti pembinaan di Sarawak dan kedudukannya yang kukuh dalam industri simen tempatan akan secara langsung mendapat keuntungan melalui fokus berterusan negeri itu terhadap pembangunan infrastruktur.

Bagaimanapun, kekurangan kepelbagaian geografi serta perniagaan teras kitaran kumpulan telah memberi kesan ke atas penarafan tetapi peningkatan pendapatan Cahya Mata Phosphates akan mengurangkan pendedahan kepada faktor-faktor ini.

RAM Ratings berkata penarafan boleh dinaik taraf jika Cahya Mata Phosphates mampu menonjolkan prestasi operasi dan kewangan yang stabil.

"Sebarang perubahan ketara daripada pelan Cahya Mata dan realisasi jangkaan pendapatan operasi fosfat mungkin menjamin lencongan prospek untuk stabil," katanya.

Kumpulan itu juga menjangkakan sumbangan sederhana daripada perniagaan yang diperoleh baru-baru ini iaitu dalam cecair penggerudian serta pengurusan sisa penggerudian akan menjadi lebih bermakna dalam jangka panjang.

-- BERNAMA