BUSINESS

Ranhill SAJ berjaya catat NRW rendah, terima dana kerajaan

Bernama 16/05/2025 | 06:00 MYT
Khairul Effendy berkata, kejayaan itu adalah hasil usaha berterusan Ranhill SAJ dalam mengoptimumkan kecekapan pengurusan air terawat.
PUTRAJAYA: Pembekal air terawat Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd menerima peruntukan lebih RM120 juta di bawah Program Pengurangan Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) Kebangsaan, menerusi bayaran imbuhan balik daripada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Ketua Pegawai Operasi Ranhill SAJ Khairul Effendy Tusam berkata suntikan peruntukan itu membolehkan projek-projek berimpak tinggi dan mampan dilaksanakan bagi kepentingan pengguna di seluruh Johor.

"Pencapaian kadar NRW sebanyak 24.1 peratus yang dicapai pada tahun 2023 merupakan yang terendah dalam tempoh lima tahun, berbanding sasaran yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), iaitu 24.5 peratus," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kejayaan itu adalah hasil usaha berterusan syarikat dalam mengoptimumkan kecekapan pengurusan air terawat.

Khairul berkata dana itu juga akan digunakan bagi penggantian paip-paip lama, pemasangan peralatan mengesan kebocoran, serta peluasan kawasan pengukuran meter daerah (DMA), dan usaha itu dijangka mampu meningkatkan kecekapan pemantauan sistem bekalan air kepada lebih empat juta pelanggan di seluruh Johor.

Geran tersebut merupakan inisiatif strategik kerajaan bagi merangsang transformasi industri air negara. Ia diberikan kepada operator air yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam aspek kecekapan dan kelestarian air.

Selain Ranhill SAJ, dua lagi operator pembekalan air, iaitu Air Selangor (AiS) dan Syarikat Air Terengganu (SATU) turut menerima geran padanan dalam satu majlis di sini hari ini, yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.

-- BERNAMA

#Ranhill SAJ #NRW #dana kerajaan #Khairul Effendy Tusam