Raudhah jadikan kejayaan sebagai motivasi bantu atasi masalah pengangguran belia

Umar Sadique
Julai 5, 2022 04:49 MYT
Raudhah Nazran ketika berucap di majlis pelancaran applikasi Aceducation di ibu kota baru-baru ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tidak pernah mendapat kasih sayang daripada seorang ayah bukanlah penghalang untuk berpatah semangat dan berjaya, malah menjadi batu loncatan untuk mencapai kejayaan untuk diri, seterusnya membantu lebih ramai orang.
Semangat tersebut dikongsikan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Accelerate Global, Raudhah Nazran, 26. Wanita yang berasal dari Kuala Lumpur itu nekad untuk mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan belia di negara ini melalui aplikasi yang dilancarnya, iaitu Aceducation.
“Sejak kecil, saya dibesarkan oleh emak saya, dan ini yang telah memberikan inspirasi kepada saya untuk tidak berputus asa dan sentiasa membantu mereka yang berada dalam kesusahan.
"Saya yakin Tuhan menciptakan setiap manusia dengan sebab yang tertentu dan bagi saya, tujuan saya adalah untuk membantu orang lain melakukan sesuatu perkara dengan banyak manfaat," ujarnya.
“Melihatkan emak saya yang berdikari dan kuat membesarkan saya, saya juga ingin memberikan inspirasi kepada golongan muda di luar sana,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, graduan University Essex itu berkata, beliau inign membantu orang ramai dengan memberikan impak kepada para belia iaitu membimbing belia mencari pekerjaan dan bidang keusahawanan.
Baru baru ini, wanita yang tersenarai dalam Forbes di bawah kategori ‘Social Impact 30 Under 30' peringkat Asia 2022 itu telah berjaya melancarkan aplikasi Aceducation yang bertujuan untuk membantu anak muda dalam mencari pekerjaan.
Tambah Raudhah, dengan melanggan aplikasi tersebut, belia boleh turut menyertai program-program latihan keusahawanan yang diadakan oleh Accelerate Global. Malah, untuk setiap langganan, pengguna dapat mengakses video-video tip yang boleh dipelajari di mana-mana sahaja.
Selain itu, platform e-pembelajaran tersebut berkonsepkan ‘1-to-1’, iaitu belia yang melanggan aplikasi itu akan diberikan akses kepada pembelajaran secara terus dan juga program program keusahawanan yang lain.
Raudhah berharap aplikasi Aceducation ini mendapat sambutan baik bukan rakyat Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.
#Belia #keusahawanan #Kuala Lumpur #accelerate #raudhah nazran