GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
BISNES

Reformasi fiskal MADANI perkukuh ekonomi, rakyat kekal terbela

Amzar Alif 03/10/2025 | 11:45 MYT
Agenda reformasi fiskal kini menjadi tunjang kepada kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan prinsip ketelusan, keberkesanan dan inklusiviti dalam tadbir urus kewangan negara. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI terus memacu agenda reformasi fiskal secara berani dan berhemah, seiring usaha menyusun semula struktur ekonomi negara ke arah masa depan yang lebih mampan, telus dan berpaksikan rakyat.

Reformasi ini dilihat penting untuk mengimbangi tanggungjawab fiskal negara dengan keperluan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, dalam menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin mencabar.


Reformasi fiskal bukan beban, tetapi pelindung rakyat


Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid, agenda reformasi fiskal perlu difahami bukan sekadar langkah pengurangan bantuan atau penjimatan semata mata, sebaliknya sebagai satu bentuk pendidikan fiskal kepada masyarakat agar lebih memahami tanggungjawab kerajaan terhadap pengurusan kewangan negara.

“Saya kira pendekatan kerajaan MADANI ini begitu cakna tentang keperluan disiplin kewangan pada masa sama tidak mahu menimbulkan kepayahan kepada rakyat. Dengan kata lain, kejutan ekonomi itu perlu diuruskan dengan baik,” katanya kepada Astro AWANI.

Beliau menyifatkan pendekatan kerajaan sebagai seimbang dan berperikemanusiaan, berupaya menstabilkan fiskal negara tanpa mengabaikan keperluan rakyat terbanyak.

Kerajaan menyasarkan pengurangan defisit fiskal kepada 3.8 peratus daripada KDNK pada 2025, berbanding 5.6 peratus pada 2022, hasil pelaksanaan langkah konsolidasi seperti rasionalisasi subsidi diesel, kenaikan kadar SST kepada lapan peratus, dan peningkatan kutipan cukai korporat serta individu.

xxx


Bantuan STR dan SARA beri impak langsung

Manfaat penjimatan fiskal itu jelas menerusi peningkatan bantuan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Peruntukan bagi bantuan tunai ini meningkat daripada RM10 bilion pada 2024 kepada lebih RM15 bilion tahun ini, termasuk pengumuman tambahan RM2 bilion baru baru ini.

“SARA ini membantu meminimumkan kesan kenaikan kos sara hidup. Bantuan dalam bentuk barangan asas seperti beras dan minyak masak mengurangkan beban kewangan isi rumah. Jadi lebihan pendapatan boleh disalurkan kepada perbelanjaan lain seperti sewa rumah atau pendidikan anak anak,” jelas Dr. Afzanizam.


Subsidi lebih adil dengan teknologi MyKad

Pelaksanaan subsidi bersasar turut menjadi elemen penting dalam reformasi fiskal. Program BUDI95, yang menggunakan MyKad sebagai pengesahan penerima subsidi RON95, membuktikan keupayaan kerajaan memanfaatkan teknologi sedia ada untuk mengurangkan ketirisan dan meningkatkan keberkesanan agihan bantuan.

“Penggunaan MyKad ini merupakan satu ‘hallmark’ kepada pelaksanaan subsidi bersasar. Kalau rakyat Malaysia sudah biasa dengan sistem ini, pada masa akan datang, penyasaran boleh dibuat dengan lebih baik termasuk berdasarkan pendapatan,” ujarnya.

Beliau menambah pendekatan ini membuka ruang kepada integrasi bantuan sosial lain, menjadikan MyKad sebagai platform holistik untuk semua bentuk sokongan kerajaan kepada rakyat.


SST kekal sesuai, GST hanya jika wajar

Menjawab persoalan mengapa SST dikekalkan berbanding GST, Dr. Afzanizam menegaskan bahawa ia adalah pilihan paling sesuai buat masa ini, selari dengan tahap pendapatan rakyat dan struktur perundangan semasa.

“GST bukan ditolak, malah kerajaan mengakui sistem itu cekap. Tapi jika mahu diperkenalkan semula, mesti ada komunikasi jelas, naratif yang kukuh dan langkah mitigasi yang strategik supaya rakyat tidak terbeban,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa SST tetap menyumbang kepada hasil negara dan hasil kutipan digunakan semula untuk manfaat rakyat dalam bentuk program bantuan serta perbelanjaan sosial.


Arah tuju mampan dan saksama

Agenda reformasi fiskal kini menjadi tunjang kepada kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan prinsip ketelusan, keberkesanan dan inklusiviti dalam tadbir urus kewangan negara.

Langkah berani ini bukan sahaja memperkukuh daya tahan fiskal negara, tetapi memastikan rakyat terus terbela, khususnya golongan rentan, dalam peralihan ke arah ekonomi yang lebih adil dan mampan.





#Str #BUDI95 #kos sara hidup #Belanjawan 2026