Rezeki Aidilfitri, tart Musang King dapat permintaan tinggi

Bernama
April 23, 2022 08:15 MYT
Siti Khairunnisa menyiapkan tart berintikan lempuk durian Musang King ketika ditemui di Rumahnya di Kampung Chucuh Puteri di Kuala Krai. - Foto BERNAMA
KUALA KRAI: Usahawan muda, Siti Khairunnisa Che Rahim tidak menyangka niatnya menukar inti biskut tart yang biasanya menggunakan nanas kepada durian Musang King mendapat permintaan tinggi.
Niat asal gadis berusia 23 tahun dari Kampung Chuchuh Puteri ketika memulakan pembuatan tart Musang King itu tahun lepas hanyalah sekadar ingin menghabiskan lebihan lempuk durian jenis itu yang ada dalam simpanannya.
Siti Khairunnisa berkata setiap kali musim durian, dia memang mempunyai lebihan simpanan lempuk durian kerana keluarganya turut mengusahakan kebun raja buah itu seluas 16 hektar.
"Saya mula menghasilkan tart Musang King ini pada sambutan Aidilfitri tahun lepas apabila memiliki kira-kira 50 kilogram stok lempuk durian.
"Alhamdulillah bermula sekadar niat untuk menghabiskan stok lempuk, tart Musang King ini mendapat permintaan tinggi sejak dihasilkan, bukan sahaja dijual terus kepada pelanggan malah biskut ini berjaya memasuki pasaran sebuah pasar raya di Kota Bharu," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya, baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Siti Khairunnisa berkata pada sambutan Aidilfitri tahun lepas, dia berjaya menjual 2,000 balang tart Musang King, bagaimanapun bagi sambutan tahun ini dia hanya mampu menghasilkan 1,000 balang kerana kekurangan bekalan stok lempuk durian.
"Antara bahan yang diperlukan untuk menghasilkan biskut ini ialah tepung gandum, telur, mentega, tepung jagung, minyak sapi, tepung kastard dan susu pekat.
"Biskut ini dijual pada harga RM18 hingga RM20 sebalang, biarpun menggunakan bahan berkualiti tinggi terutama rmusang king saya tetap jual dengan harga mampu beli," kata anak ketiga daripada empat beradik itu.
Mengenai pasaran tart Musang King yang dihasilkannya, Siti Khairunnisa berkata dia turut mendapat permintaan dari negara seperti Singapura, Brunei dan Thailand namun tidak mampu memenuhi permintaan tersebut.
"Bekalan lempuk durian musang king yang terhad menyebabkan saya hanya mampu memenuhi permintaan dalam negara ketika ini," kata pemegang Diploma Pemasaran Kolej Vokasional Pasir Mas itu.
-- BERNAMA
#tart Musang King #Aidilfitri #Siti Khairunnisa Che Rahim #usahawan #kuih raya #Kuala Krai