KUALA LUMPUR: RHB Banking Group meraih lima anugerah di Anugerah Perbankan Kewangan Global (GBAF) Ke-11, termasuk beberapa kemenangan berturut-turut atas tumpuannya kepada inovasi digital dalam penyelesaian perbendaharaannya serta produk dan perkhidmatan perbankan perniagaan dan pertukaran asing (FX).

Menurut kumpulan perbankan itu, ia diumumkan sebagai "Best Multi-Currency Account Malaysia 2022" untuk tahun ketiga berturut-turut, "Best Forex Bank Malaysia 2022" dan "Best Banking Product RHB Live FX@Reflex" untuk tahun kedua berturut-turut serta "Best Islamic Forex Bank Malaysia 2022" dan "Best Islamic Multi Currency Account Malaysia 2022".

"Kumpulan diiktiraf atas komitmen dan usahanya dalam memberikan penyelesaian yang berteraskan pelanggan yang menyeluruh dan inovatif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bendahari Kumpulan Angus Salim Amran berkata RHB akan terus memberi tumpuan kepada membangunkan penyelesaian dan produk perbendaharaan inovatif yang memenangi anugerah dan dapat memenuhi keperluan perniagaan dan gaya hidup pelanggan, memanfaatkan keupayaan digital ke arah memberikan pengalaman perkhidmatan yang mudah, lancar dan selamat.

"Sejak 2020, pelanggan kami dapat melakukan pemantauan dalam talian serta tempahan kadar dan kontrak FX pada masa nyata di mana-mana dan pada bila-bila masa melalui pautan platform pertukaran asing masa nyata kami disatukan yang lancar, RHB Live FX@REFLEX, dengan akaun pelbagai mata wang RHB kami yang memegang sehingga 24 mata wang asing dan pelaburan logam berharga dalam satu akaun," katanya.

GBAF mengiktiraf kecemerlangan dalam komuniti kewangan global dalam pelbagai perkhidmatan, termasuk pertukaran asing, perbankan, insurans, dana lindung nilai, kewangan Islam, dana dagangan bursa dan teknologi.

-- BERNAMA