KUALA LUMPUR: Ringgit mencatatkan kenaikan tambahan berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu rendah selepas data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS dan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dikeluarkan, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.3995/4025 berbanding dolar AS daripada 4.4065/4120 pada Rabu.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit lebih kukuh berbanding dolar AS hari ini berikutan data terkini untuk IHP AS dilihat sebagai positif ringgit apabila pertimbangan oleh Rizab Persekutuan AS (Fed AS) mendapat momentum.

Beliau berkata dolar AS juga rendah berbanding mata wang utama seperti Euro, pound Britain dan yen Jepun, membawa kepada Indeks dolar AS yang lebih rendah merosot 0.2 peratus kepada 101.297 mata.

Bagaimanapun, katanya pasaran masih meneliti data IHP AS yang terkini dan minit mesyuarat FOMC semalam, yang menunjukkan kakitangan Fed AS menjangka kemungkinan kemelesetan yang sederhana pada akhir tahun ini.

"Pada masa depan, kita mungkin menyaksikan beberapa ahli Fed terus membincangkan sama ada Kadar Dana Fed perlu lebih tinggi atau sebaliknya.

"Bagaimanapun, kenaikan mendadak untuk Kadar Dana Fed sebanyak 475 mata asas sejak tahun lepas ternyata akan memberi impak kepada pertumbuhan dan inflasi.

"Ia menjadi persoalan mengenai bila dan sejauhmana impaknya. Oleh itu, saya percaya pasaran mata wang akan terus diniagakan dalam sentimen berhati-hati," katanya kepada Bernama.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata bacaan IHP AS pada Mac yang lebih baik daripada jangkaan menjadi petunjuk terkini bahawa inflasi boleh sederhana dan boleh mendorong kepada perbincangan kadar faedah rendah untuk hala tuju Fed dari sini.

Katanya inflasi keseluruhan AS berkurangan lebih daripada jangkaan manakala teras kekal stabil.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding euro kepada 4.8500/8533 daripada 4.8159/8219 pada Rabu, rendah berbanding pound Britain kepada 5.5047/5084 daripada 5.4716/4784 dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.3034/3059 daripada 3.2943/2987 semalam.

Berbanding mata wang ASEAN, mata wang tempatan juga kebanyakannya rendah.

Ia merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 298.3/298.7 daripada 296.0/296.6 pada Rabu dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.8942/9083 daripada 12.8657/8874 sebelum ini.

-- BERNAMA