BISNES

Ringgit cecah 4.11 berbanding dolar AS, paras tertinggi dalam tempoh empat tahun lima bulan

Bernama 04/12/2025 | 12:59 MYT
Pada 6 petang, ringgit melonjak kepada 4.1115/1165 berbanding dolar AS, daripada 4.1200/1235 ketika ditutup semalam. - Foto hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ringgit melonjak kepada 4.11 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ditutup pada Khamis, mencecah paras tertinggi baharu dalam tempoh hampir empat tahun setengah, apabila data ekonomi AS yang lemah terus meningkatkan jangkaan terhadap kemungkinan pengurangan kadar faedahnya.

Pada 6 petang, ringgit melonjak kepada 4.1115/1165 berbanding dolar AS, daripada 4.1200/1235 ketika ditutup semalam.

Paras tersebut merupakan yang tertinggi dalam tempoh empat tahun lima bulan, mengatasi paras tertinggi sebelum ini yang dicatatkan pada 16 Jun, 2021 apabila ringgit ditutup pada 4.1155.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata data ekonomi AS yang lemah terutama penyusutan ketara yang dilaporkan menerusi laporan guna tenaga ADP terkini, mengukuhkan lagi jangkaan terhadap kemungkinan pengurangan kadar faedah AS.

"Penyusutan dalam pembayaran gaji ADP yang ketara -- dengan guna tenaga sektor swasta berkurangan sebanyak 32,000 pada November selepas meningkat 47,000 pada Oktober telah melonjakkan lagi harapan terhadap pengurangan kadar (apabila Rizab Persekutuan AS (Fed) bermesyuarat minggu hadapan)," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata keyakinan semakin meningkat bahawa Fed mungkin memulakan normalisasi dasar minggu depan, sekali gus meletakkan dolar AS pada kedudukan bertahan dan ini memberikan lagi sokongan kepada mata wang negara Asia, termasuk ringgit.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata kalangan peserta pasaran juga akan memantau dua lagi indikator ekonomi utama AS iaitu tuntutan awal pengangguran dan laporan pengurangan pekerjaan Challenger yang dijangka dikeluarkan malam ini.

"Malam ini, angka tuntutan awal pengangguran akan dikeluarkan dengan konsensus menjangkakan sebanyak 219,000 berbanding 216,000 pada minggu sebelumnya. Terdapat juga data daripada laporan pengurangan pekerjaan Challenger, yang mengukur bilangan pemberhentian kerja bagi November.

"Pada Oktober, jumlah pemberhentian kerja melonjak kepada 153,000 daripada 54,000 pada bulan sebelumnya," katanya.

Beliau berkata perkembangan itu dijangka terus menyokong ringgit dalam tempoh terdekat.

Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan rendah berbanding pound British kepada 5.4868/4935 daripada 5.4697/4744 ketika ditutup semalam, dan susut berbanding euro kepada 4.8014/8075 daripada 4.7982/8022.

Ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 2.6555/6589 daripada 2.6476/6501.

Bagaimanapun mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1747/1788 daripada 3.1810/1839 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 246.8/247.3 daripada 247.7/248.1.

Unit domestik juga tinggi berbanding peso Filipina kepada 6.96/6.98 daripada 6.99/7.00 dan lebih kukuh berbanding baht Thai kepada 12.8304/8520 daripada 12.9024/9186.

-- BERNAMA

#ringgit #dolar AS #mata wang tempatan #Amerika Syarikat