[TERKINI] Ikuti pembentangan Bajet 2026 secara langsung – video tumpuan, undian anda serta analisis penuh di sini!
BISNES

Ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar AS menjelang pembentangan Belanjawan 2026

Bernama 10/10/2025 | 01:40 MYT
Pada 8 pagi, mata wang tempatan itu berada pada paras 4.2140/2255 berbanding dolar AS. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar AS pada Jumaat berikutan para pelabur kekal berhati-hati susulan sentimen bercampu-campur menjelang pembentangan Belanjawan 2026 petang ini.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan itu berada pada paras 4.2140/2255 berbanding dolar AS 4.2145/2185 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata gandingan dolar-ringgit dijangka kekal dalam jajaran terhad memandangkan pembentangan Belanjawan 2026 dijangka memberikan gambaran lebih jelas mengenai kedudukan fiskal Malaysia pada masa hadapan.

"Setakat ini, pelaksanaan langkah konsolidasi fiskal telah menurunkan defisit fiskal kepada 4.2 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi separuh pertama 2025 berbanding 5.5 peratus dalam tempoh sama tahun lepas, dan kerajaan dilihat berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 3.8 peratus tahun ini," katanya kepada Bernama.

Mengenai faktor luaran, Mohd Afzanizam berkata ketidaktentuan ekonomi Amerika Syarikat (AS) terus menyokong pengukuhan dolar, yang didorong oleh isyarat kurang jelas mengenai hala tuju kadar faedah Rizab Persekutuan AS dan kekurangan data ekonomi disebabkan penutupan sementara kerajaan AS.

Pada sesi pembukaan, ringgit tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit naik berbanding euro kepada 4.8735/8868 daripada 4.8988/9044 ketika ditutup pada Khamis, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.7539/7616 daripada 2.7625/7653, dan meningkat berbanding pound kepada 5.6055/6208 daripada 5.6501/6575.

Prestasi mata wang itu bagaimanapun bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia menokok berbanding baht Thai kepada 12.8507/8924 daripada 12.9323/9505 ketika ditutup semalam dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2433/2524 daripada 3.2534/2568 sebelum itu.

Bagaimanapun, ringgit hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.23/7.26 daripada 7.23/7.24 dan stabil berbanding rupiah Indonesia pada 254.3/255.1 daripada 254.3/254.7.

-- BERNAMA






#Belanjawan 2026 #ringgit #dolar AS #mata wang asing