BISNES

Ringgit dibuka mendatar berbanding dolar AS didorong petunjuk FED bercampur-campur

Bernama 29/09/2025 | 01:30 MYT
Ringgit dijangka diniagakan dalam julat RM4.22 hingga RM4.23 hari ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka mendatar berbanding dolar AS pada Isnin berikutan peniaga terus berhati-hati dengan petunjuk bercampur-campur daripada para pegawai Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengenai prospek kadar faedah.

Pada 8.01 pagi, mata wang tempatan dicatatkan pada 4.2200/2250 sama seperti ditutup pada Jumaat lepas pada 4.2200/2250.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, peniaga dan pelabur masih tidak mencapai kata sepakat mengenai sama ada Fed akan memberikan keutamaan kepada pertumbuhan atau inflasi, mewujudkan ketidaktentuan yang mengehadkan kenaikan mata wang pasaran sedang pesat membangun, termasuk ringgit.

Beliau berkata, dolar AS juga mendapat momentum, dengan Indeks Dolar AS (DXY) diniagakan melebihi paras 98 mata.

"Sehubungan itu, ringgit dijangka diniagakan dalam julat RM4.22 hingga RM4.23 hari ini," katanya kepada Bernama.

Pada sesi pembukaan, ringgit rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 2.8265/8301 daripada 2.8171/8206 semasa ditutup pada Jumaat lepas, berkurangan berbanding pound kepada 5.6599/6666 daripada 5.6345/6412 dan susut berbanding euro kepada 4.9416/9475 daripada 4.9281/9340.

Mata wang tempatan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2680/2721 daripada 3.2630/2671 dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 13.0849/1081 daripada 13.0587/1069 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia diniagakan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 252.1/252.5 dan peso Filipina kepada 7.25/7.27 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA



#ringgit #dolar AS #Fed AS #mata wang tempatan