KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal urus niaga Selasa berikutan peningkatan permintaan di pasaran walaupun unit tempatan itu terus diniagakan secara berhati-hati, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi ini, ringgit meningkat kepada 4.2280/2320 berbanding dolar AS daripada 4.2310/2340 pada akhir urus niaga Isnin.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata dolar AS kekal dalam ketidakpastian berbanding ringgit pada Selasa.

"Selepas mencatat pergerakan memberangsangkan yang bermula pada 1 November lepas, dolar AS kelihatan sukar untuk melepasi paras rintangan menghampiri 4.2400.

"Ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell yang membayangkan bahawa proses pengurangan pembelian aset berkemungkinan dipercepat dan sekali gus menamatkan pakej rangsangan kewangan jauh lebih awal daripada dijangkakan.

"Ada segelintir penganalisis sudah menjangkakan kemungkinan kenaikan kadar faedah AS sebanyak 0.75 peratus berlaku lebih awal lagi iaitu pada awal 2022," katanya.

Dalam pada itu ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0873/0906 daripada 3.0899/0925 pada akhir urus niaga Isnin, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7254/7293 daripada 3.7363/7393 dan naik berbanding euro kepada 4.7688/7733 daripada 4.7810/7844.

Ia turun naik berbanding pound Britain kepada 5.6059/6112 daripada 5.6095/6134, semalam.

-- BERNAMA