KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa awal dagangan pada Selasa berikutan laporan pekerjaan yang dikeluarkan pada minggu lepas selain isyarat kadar faedah tinggi oleh Rizab Persekutuan AS (Fed), kata penganalisis.

Pada 9.01 pagi, ringgit susut kepada 4.7570/7620 berbanding dolar AS daripada 4.7460/7520 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar AS kekal pada kedudukan lebih kukuh susulan data pembayaran gaji bukan ladang (NFP) yang dikeluarkan minggu lepas adalah lebih tinggi berbanding jangkaan.

Indeks Dolar AS (DXY) dilaporkan meningkat 0.53 peratus dalam tempoh semalaman kepada 104.452 mata.

Beliau berkata tumpuan hari ini terarah kepada mesyuarat dasar monetari Reserve Bank of Australia (RBA) dengan kebanyakan pakar ekonomi menjangkakan kadar faedah penanda aras kekal stabil pada 4.35 peratus.

"Terdapat cakap-cakap yang RBA mungkin mengurangkan kadar faedah pada satu ketika tahun ini memandangkan kadar inflasi menjadi sederhana kepada 4.1 peratus pada suku akhir 2023 daripada 5.3 peratus pada suku sebelumnya," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata justeru, peserta pasaran akan kekal yakin terhadap dolar AS atas banyak sebab memandangkan Fed nampaknya tidak akan menganjakkan pendirian ketat mereka dalam masa terdekat.

Oleh yang demikian, ringgit berbanding dolar AS mungkin kekal sekitar RM4.74 hingga RM4.75 hari ini, katanya.

"Dari sudut pandang teknikal, ringgit telah berada dalam keadaan terlebih jual, menunjukkan penyusutan selanjutnya kelihatan agak terhad," katanya.

Ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit domestik susut berbanding yen Jepun kepada 3.2012/2048 daripada 3.1957/2000  ketika ditutup pada Isnin dan rendah ai berbanding euro kepada 5.1109/1163 daripada 5.1038/1103.

Bagaimanapun, ia meningkat berbanding pound British kepada 5.9653/9715 daripada 5.9804/9880 sebelumnya.

Nota tempatan didagangkan rendah berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.5321/5361 daripada 3.5260/5307 ketika ditutup pada Isnin dan rendah berbanding baht Thailand kepada 13.2970/3169 daripada 13.2559/2782.

Unit tempatan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 302.8/303.2 daripada 302.1/302.6 semalam dan turun berbanding peso Filipina kepada 8.45/8.46 daripada 8.43/8.45.


-- BERNAMA