Skip to main content

Bisnes

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS susulan jangkaan kenaikan kadar faedah AS

Pada 8 pagi ini, ringgit susut kepada 4.0820/0865 berbanding dolar AS. - Gambar hiasan
Pada 8 pagi ini, ringgit susut kepada 4.0820/0865 berbanding dolar AS. - Gambar hiasan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis susulan pengumuman data inflasi AS yang lebih tinggi daripada jangkaan dan mengukuhkan lagi unjuran kemungkinan Rizab Persekutuan AS (Fed) menaikkan kadar faedah utama, sekali gus menyokong pengukuhan mata wang dolar.

Pada 8 pagi ini, ringgit susut kepada 4.0820/0865 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0805/0850, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) naik 0.36 peratus kepada 102.55 mata selepas kadar inflasi keseluruhan AS meningkat  kepada 3.7 peratus pada September berbanding 3.4 peratus pada Ogos.

Angka terkini itu ternyata melebihi jangkaan pasaran sebanyak 3.6 peratus.

Pada masa sama, inflasi teras turut meningkat kepada 2.6 peratus pada September berbanding 2.4 peratus pada Ogos yang melebihi anggaran konsensus sebanyak 2.4 peratus.

Beliau berkata kenaikan harga petrol menjadi faktor utama yang mendorong peningkatan itu dengan subindeks pengangkutan naik kepada 7.9 peratus pada September berbanding 6.2 peratus pada Ogos.

“Berikutan pengumuman data inflasi itu, Presiden Fed Chicago Austan Goolsbee menyifatkan angka itu sebagai mengecewakan yang hanya membayangkan kemungkinan pegawai Fed perlu mempertimbang menaikkan kadar dana persekutuan pada mesyuarat akan datang dijadualkan pada 27 hingga 28 Oktober ini,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam juga menganggap perkembangan terbaharu itu hanya mengukuhkan lagi jangkaan kenaikan kadar faedah AS yang berpotensi memberi tekanan lanjut kepada ringgit.

“Susulan itu, kami menjangkakan gandingan dolar AS-ringgit akan diniagakan dalam julat RM4.08 hingga RM4.09 hari ini berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah AS kini makin ketara,” katanya.

Namun, beliau berkata anggaran awal pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2026 berpotensi menyuntik sokongan kepada ringgit.

Ini termasuk jangkaan ekonomi Malaysia akan mengekalkan pertumbuhan sekitar 5.0 peratus.

“Laluan pertumbuhan sedemikian boleh menyokong kemungkinan penormalan Kadar Dasar Semalaman (OPR) di masa depan,” katanya.

 Dalam pada itu, ringgit dibuka kebanyakannya susut berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan itu naik berbanding pound Britain kepada 5.4005/4064 daripada 5.4132/4192 pada akhir urus niaga semalam namun susut berbanding yen Jepun kepada 2.5840/5870 daripada 2.5751/5781.

Ringgit juga rendah sedikit berbanding euro kepada 4.5694/5744 daripada 4.5673/5723.

Berbanding mata wang negara-negara ASEAN, ringgit diniagakan kebanyakannya mengukuh.

Ini termasuk naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1794/1831 daripada 3.1829/1867 semalam, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.1365/1586 daripada 12.1498/1672 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.49/6.50 daripada 6.50/6.51.

Ringgit bagaimanapun rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 228.0/228.3 daripada 227.9/228.2.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement