BISNES
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.2205/2295 berbanding dolar AS. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Khamis, mencatatkan kenaikan selepas ditutup rendah sebelumnya kerana peniaga bersikap berhati-hati dan mengurangkan pegangan dolar AS menjelang 9 Julai, tarikh akhir penangguhan tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS).
Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.2205/2295 berbanding dolar AS daripada 4.2245/2305 ketika ditutup pada Rabu.
Sementara itu, Indeks Dolar AS susut 0.04 peratus kepada 96.776, selepas data pasaran buruh AS menunjukkan kelemahan pada Jun.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sektor swasta AS kehilangan 33,000 pekerjaan pada Jun, menurut firma data gaji Pemprosesan Data Automatik (ADP), di luar jangkaan pasaran iaitu peningkatan sebanyak 99,000."Kehilangan pekerjaan paling ketara dalam sektor perkhidmatan seperti aktiviti kewangan dan perkhidmatan profesional dan perniagaan. Laporan data senarai gaji bukan ladang (NFP) malam ini akan dipantau dengan teliti, memandangkan petunjuk positif antara bacaan ADP dan NFP," katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata beberapa petunjuk pasaran buruh yang semakin lemah telah mula kelihatan, ia boleh mempengaruhi prospek kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS dan mengukuhkan unjuran akan berlaku penurunan kadar faedah.
"Pada Rabu, ringgit merosot kepada RM4.2275 daripada RM4.1980, penyusutan 0.7 peratus. Ini berkemungkinan disebabkan oleh aktiviti pengambilan untung menjelang penamatan penangguhan tarif AS," katanya.
Beliau berkata kerajaan AS mungkin akan mengubah kadar tarif, contohnya Vietnam, AS mengurangkan tarif timbal balik terhadap negara itu sebanyak 20 peratus.
"Berdasarkan perkembangan ini, ringgit diunjurkan kekal dalam jajaran kecil berikutan peserta pasaran kekal berhati-hati berikutan data NFP dikeluarkan malam ini dan keputusan tarif AS yang akan datang," katanya.
Pada pembukaan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama dan mata wang ASEAN.
Unit tempatan naik berbanding pound Britain kepada 5.7606/7728 daripada 5.7859/7941, bagaimanapun susut berbanding euro kepada 4.9793/9900 daripada 4.9748/9818 dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 2.9405/9470 daripada 2.9316/9360.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3154/3230 daripada 3.3167/3217, melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 259.7/260.4 daripada 259.9/260.5, menambah berbanding peso Filipina kepada 7.48/7.50 daripada 7.49/7.51, namun merosot berbanding baht Thailand kepada 13.0391/0742 daripada 13.0233/0482.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami