BISNES
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.2365/2515 berbanding dolar AS. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Isnin, meningkat semula selepas mencatatkan penurunan selama dua sesi dagangan berturut-turut dalam kebimbangan mengenai impak daripada tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas ekonomi domestik dan global.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.2365/2515 berbanding dolar AS daripada 4.2420/2480 pada Jumaat lepas.
Seorang penganalisis berkata cadangan tarif oleh Presiden AS Donald Trump ke atas semikonduktor dan farmaseutikal, langkah terkini yang mengancam untuk menggugat perdagangan antarabangsa dijangka menjejaskan sentimen aset berisiko.
"Pada masa yang sama, pelabur memantau tekanan yang meningkat dalam blok BRICS dan petunjuk ketegangan dalam gencatan perdagangan antara AS dan China."Tindakan dasar Trump yang tidak dijangka dengan perkembangan didorong berita utama semasa, terus menyemarakkan ketidaktentuan pasaran," katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka kekal diniagakan dalam jajaran kecil kira-kira 4.24 hingga 4.25 berbanding dolar AS.
Beliau berkata petunjuk bercampur-campur daripada kenyataan rasmi terkini pegawai-pegawai kanan Rizab Persekutuan AS telah menyokong dolar AS, dengan Indeks Dolar AS (DXY) kini berada pada paras 98.243 mata, meningkat 0.06 peratus.
"Ringgit akan terus diniagakan secara berhati-hati menjelang pengumuman data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS pada Selasa.
"Anggaran konsensus menunjukkan kadar inflasi pada Julai akan meningkat kepada 2.8 peratus berbanding 2.7 peratus sebelum ini manakala inflasi teras dijangka naik kepada 3.0 peratus daripada 2.9 peratus," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2025 yang dijadual diumumkan pada Jumaat ini akan turut dipantau dengan anggaran awal yang dikeluarkan pada Julai menunjukkan ekonomi berkembang sebanyak 4.5 peratus pada suku kedua 2025.
Katanya setakat ini, Indeks Pengeluaran Perindustrian dan Indeks Perkhidmatan, masing-masing mencatatkan pertumbuhan yang perlahan pada 2.0 peratus dan 5.0 peratus pada suku kedua 2025 berbanding 2.3 peratus dan 5.1 peratus pada suku tahun sebelumnya.
"Ini menunjukkan kemungkinan terdapat risiko penurunan terhadap angka akhir KDNK berbanding anggaran awal," katanya.
Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8693/8796 daripada 2.8720/8763 pada Jumaat lepas, naik berbanding euro kepada 4.9343/9517 daripada 4.9381/9451 dan tinggi berbanding pound kepada 5.6951/7153 daripada 5.7034/7114.
Ringgit turut mengukuh berbanding mata wang serantau.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2966/3086 daripada 3.3014/3064, melonjak berbanding baht Thailand kepada 13.0801/1381 daripada 13.1173/1419, tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 260.0/261.0 daripada 260.3/260.8 dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.42/7.45 daripada 7.43/7.44 sebelum ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami