[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
BISNES

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Bernama 24/09/2025 | 02:10 MYT
Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.1960/202 berbanding dolar AS. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pada hari Rabu apabila mata wang Amerika Syarikat (AS) merosot selepas data ekonomi AS yang lemah.

Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.1960/202 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1985/2000 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data menunjukkan Indeks Pengurus Pembelian Komposit AS (PMI) turun kepada 53.6 pada September daripada 54.5 pada bulan sebelumnya.

"Kaji selidik itu menunjukkan bahawa syarikat AS menghadapi peningkatan kos daripada tarif import lebih tinggi, manakala permintaan yang lemah mengehadkan keupayaan mereka untuk mengenakan kos kepada pengguna.

"Disebabkan petunjuk bercampur-campur, Indeks Dolar AS (DXY) berkurangan 0.12 peratus kepada 97.225," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) Jerome Powell berpendapat mungkin wujud risiko dalam memenuhi dua mandat Fed AS iaitu meningkatkan pertumbuhan pekerjaan dan mengekalkan kestabilan harga.

"Kenyataannya memberi gambaran bahawa Fed AS mungkin cenderung untuk tidak menurunkan kadar faedah secara agresif. Sehubungan itu, ringgit dijangka kekal dalam julat kecil antara RM4.19 hingga RM4.21," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pengurusan Aset SPI Stephen Innes berkata pasaran kelihatan bersedia untuk penyatuan dan bukannya momentum baharu, peniaga pula menunggu pemangkin yang lebih kukuh minggu ini.

"Fokus peniaga telah beralih kepada laporan data senarai gaji bukan ladang (NFP) minggu depan yang mungkin akan mengukuhkan jangkaan pasaran semasa untuk penurunan kadar faedah, faktor negatif dolar AS," kata Innes.

Pada paras pembukaan, ringgit juga kebanyakannya diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.8438/8480 daripada 2.8441/8453 ketika ditutup pada Selasa, bagaimanapun menguncup berbanding pound Britain kepada 5.6743/6824 daripada 5.6701/6721 dan turun berbanding euro kepada 4.9572/9642 daripada 4.9546/9564.

Bagaimanapun, mata wang tempatan mengukuh berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2697/2746 daripada 3.2724/2738, melonjak berbanding baht Thailand kepada 13.1577/1836 daripada 13.1900/2001, menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 251.4/251.9 daripada 251.5/251.8 dan menambah berbanding peso Filipina kepada 7.32/7.34 daripada 7.33/7.33.

-- BERNAMA





#ringgit #dolar AS #dagangan #mata wang asing