BISNES

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Bernama 21/10/2025 | 02:00 MYT
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dalam pesekitaran penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan perdagangan dengan China, kata seorang penganalisis. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dalam pesekitaran penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan perdagangan dengan China, kata seorang penganalisis.

Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.2165/2300 berbanding dolar AS 4.2240/2275 ketika ditutup pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, indeks dolar AS (DXY) kekal berdaya tahan, berlegar sekitar 98.532 mata, lebih rendah sedikit daripada 98.586 mata ketika ditutup semalam.

"Kemungkinan untuk penurunan suku mata mata oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS kekal tinggi pada 98.9 peratus, walaupun kekurangan mata data rasmi.

"Dari sudut teknikal, ringgit sudah berada dalam kedudukan lebihan jualan, membayangkan potensi kenaikan nilai ringgit," katanya kepada Bernama hari ini.

Oleh itu, beliau menjangkakan dolar-ringgit AS kekal dalam julatantara 4.21 hingga 4.22 hari ini.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata, pasaran akan berada dalam mod berhati-hati, memandangkan pelabur memantau perkembangan terbaharu mengenai pertemuan antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping minggu depan.

Beliau berpendapat bahawa sentimen pasaran mungkin berhati-hati dengan keputusan mesyuarat itu kerana keputusan China untuk tidak membeli kacang soya dari AS merugikan petani di AS.

"Mungkin pasaran mengharapkan perjanjian yang lebih baik, namun tindakan Trump sukar dijangka. Justeru, pasaran akan berada dalam mod berhati-hati," katanya.

Pasaran ditutup pada Isnin lepas, 20 Oktober, 2025 bersempena cuti umum Hari Deepavali dan kembali dibuka hari ini.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6522/6703 daripada 5.6741/6788 ketika ditutup pada Jumaat, naik berbanding euro kepada 4.9110/9267 daripada 4.9421/9462 dan melonjak berbanding yen Jepun kepada 2.7966/8058 daripada 2.8218/8244 sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit kebanyakannya tinggi berbanding mata ASEAN.

Ia menambah berbanding dolar Singapura kepada 3.2595/2702 daripada 3.2635/2665 ketika ditutup pada Jumaat dan menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 254.3/255.3 daripada 254.6/254.9 sebelum itu.

Ringgit naik berbanding peso Filipina kepada 7.25/7.27 daripada 7.26/7.27, bagaimanapun merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9543/13.0030 daripada 12.9301/9471 sebelumnya.

-- BERNAMA


#ringgit #dolar AS #Indeks Dolar AS #rizab persekutuan