Harga RON95 Turun kepada RM1.99 Bermula 30 September – PM Anwar
BISNES

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS didorong tinjauan S&P stabil

Bernama 22/09/2025 | 01:40 MYT
Menurut Mohd Afzanizam, defisit fiskal Malaysia berkurangan kepada 4.2 peratus daripada KDNK pada separuh pertama 2025 daripada 5.5 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Isnin, disokong oleh penarafan kredit berdaulat Malaysia yang positif dan data ekonomi tempatan yang kukuh.


Ringkasan AI
  • Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS disokong oleh penarafan kredit Malaysia yang kekal stabil serta data ekonomi tempatan yang kukuh.
  • Defisit fiskal Malaysia berkurangan kepada 4.2% KDNK dengan paras hutang kerajaan kekal bawah had statutori, menunjukkan pengurusan ekonomi yang positif.
  • Ringgit turut mengukuh berbanding mata wang utama dan ASEAN, manakala faktor global seperti dasar kadar faedah AS serta hubungan AS-China dijangka mempengaruhi pergerakan mata wang.


Pada 8.02 pagi, mata wang tempatan dicatatkan pada 4.2000/2200 berbanding dolar AS daripada 4.2040/2115 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pengekalan penarafan terkini oleh S&P Global Ratings itu menunjukkan penarafan berdaulat kerajaan kekal stabil.

“Langkah konsolidasi fiskal negara telah menyumbang secara positif kepada kebolehpercayaan kreditnya.

“Defisit fiskal Malaysia berkurangan kepada 4.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada separuh pertama 2025 daripada 5.5 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas manakala paras hutang kerajaan sebanyak 62 peratus daripada KDNK yang kekal di bawah had statutori pada 65 peratus,” katanya kepada Bernama.

Pada Sabtu lepas, S&P Global Ratings mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada ‘A-’ dengan tinjauan stabil.

Menurut Kementerian Kewangan, semakan terkini itu menunjukkan keyakinan terhadap pengurusan makroekonomi Malaysia yang kukuh walaupun terdapat ketidaktentuan yang ketara dalam aliran perdagangan global.

Katanya asas penarafan tersebut disokong oleh ekonomi yang pelbagai, kestabilan politik yang berterusan, momentum pertumbuhan yang mapan, kedudukan luaran yang seimbang serta defisit fiskal yang mengecil.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat semula selepas Rizab Persekutuan (Fed) AS mengumumkan penurunan kadar faedah minggu lepas.

“DXY dicatatkan sebanyak 97 mata dan dijangka terus berada pada paras ini sementara peniaga dan pelabur menunggu petunjuk seterusnya minggu ini. Beberapa pegawai Fed dijangka berucap di forum awam manakala data seperti inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) akan dipantau,” katanya.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata jangkaan dua lagi penurunan kadar faedah AS pada tahun ini dijangka mengehadkan penurunan ringgit dalam tempoh terdekat.

“Ini selepas dilihat perbualan telefon yang positif antara Presiden China Xi Jinping dan Presiden AS Donald Trump pada Jumaat lepas, berpotensi membuka laluan kepada pertemuan secara bersemuka pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2025 di Korea Selatan bulan depan,” katanya.

Pada sesi pembukaan, ringgit turut tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8348/8485 daripada 2.8419/8471 semasa ditutup pada Jumaat lepas, mengukuh kepada 5.6540/6810 berbanding pound daripada 5.6775/6876 dan naik kepada 4.9279/9513 berbanding euro daripada 4.9447/9536.

Mata wang tempatan turut mengukuh berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat kepada 3.2670/2830 berbanding dolar Singapura daripada 3.2744/2805, naik kepada 13.1707/2405 berbanding baht Thailand daripada 13.1973/2271, tinggi kepada 252.9/254.3 berbanding rupiah Indonesia daripada 253.2/253.8 dan mengukuh kepada 7.35/7.39 berbanding peso Filipina daripada 7.36/7.38.

-- BERNAMA




#dolar AS #ringgit #KDNK #rizab persekutuan