[TERKINI] Kapal FFC, Thousand Madleens diserbu Israel, 8 delegasi Malaysia terlibat
BISNES

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS, mata wang utama lain

Bernama 08/10/2025 | 02:30 MYT
Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain ketika dibuka pada Rabu, didorong sentimen positif menjelang pembentangan Belanjawan 2026 Malaysia pada Jumaat ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain ketika dibuka pada Rabu, didorong sentimen positif menjelang pembentangan Belanjawan 2026 Malaysia pada Jumaat ini.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2075/2260 berbanding dolar AS daripada 4.2125/2155 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, USD/MYR dijangka didagangkan dalam julat kecil memandangkan pengumuman Belanjawan 2026 dijangka memberi lebih kejelasan mengenai unjuran ekonomi Malaysia.

"Dolar-ringgit dijangka didagangkan antara RM4.21 hingga RM4.22 hari ini," katanya kepada Bernama.

Kenanga Investment Bank Bhd pula menjelaskan, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat US$0.9 bilion kepada US$123.6 bilion pada September -- paras tertinggi dalam tempoh hampir 11 tahun -- terutamanya didorong keuntungan penilaian semula emas yang kukuh dan rizab mata wang asing yang lebih tinggi.

Menurut bank pelaburan itu, jumlah rizab melibatkan ringgit pula mencecah RM520.9 bilion, iaitu paras tertinggi dalam tempoh empat bulan.

"Walaupun terdapat aliran keluar bon, rizab mata wang asing bersih meningkat kepada paras tertinggi dalam tiga tahun iaitu US$73.3 bilion, disokong oleh penghantaran balik mata wang asing syarikat korporat yang berterusan sekali gus menyokong usaha mengukuhkan daya tahan ringgit," tambahnya.

Ringgit merupakan antara mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik dalam kalangan mata wang ASEAN-5 pada September, meneruskan peningkatan bagi bulan kelapan berturut-turut, tambah bank pelaburan itu.

"Walaupun permintaan global yang suram mungkin menjejaskan pertumbuhan pada separuh kedua 2025 namun, momentum domestik dijangka kekal, didorong oleh sektor perkhidmatan, perbelanjaan isi rumah, langkah dasar bersasar dan pembaharuan struktur.

"Buat masa ini, kadar dasar semasa masih menyokong pertumbuhan, dan pengurangan kadar tidak perlu selagi permintaan domestik kekal kukuh," jelas Kenangan Investment Bank.

Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.9030/9246 daripada 4.9135/9170 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.7663/7786 daripada 2.7938/7960.

Ringgit lebih stabil berbanding pound British kepada 5.6465/6713 daripada 5.6620/6661.

Ringgit juga didagangkan tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang domestik lebih tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.9473/13.0115 daripada 12.9532/9688 semalam, dan meningkat dolar Singapura kepada 3.2520/2669 daripada 3.2587/2613.

Ringgit meningkat sedikit berbanding peso Filipina kepada 7.24/7.27 daripada 7.25/7.26, dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 254.0/255.2 daripada 254.3/254.6.

-- BERNAMA


#ringgit #dolar AS #Belanjawan 2026 #unjuran ekonomi malaysia