BISNES

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS menjelang anggaran KDNK suku keempat

Bernama 16/01/2026 | 01:15 MYT
Ringgit meningkat semula untuk dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS menjelang pengumuman anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2025 Malaysia hari ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat semula untuk dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS menjelang pengumuman anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2025 Malaysia hari ini.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan diniagakan lebih tinggi kepada 4.0515/0600 berbanding dolar, daripada 4.0535/0595 semasa ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, angka KDNK awal akan diumumkan hari ini, dengan anggaran konsensus menunjukkan kadar pertumbuhan kukuh sebanyak 5.4 peratus.

"Pertumbuhan ekonomi yang teguh mungkin bermakna tiada keperluan mendesak untuk bank pusat menurunkan kadar faedah pada tahun ini.

"Oleh itu, ini boleh memberi sokongan kepada ringgit," katanya kepada Bernama sambil memaklumkan ringgit diunjur kekal dalam julat RM4.05 hingga RM4.06 hari ini.

Pada Khamis, ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS sebanyak 0.17 peratus apabila unit negara maju itu mendapat rangsangan daripada Tuntutan Pengangguran Awal (IJC) yang lebih baik daripada dijangka sekali gus mengurangkan jangkaan bahawa kadar faedah akan turun dalam masa terdekat ini.

Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.32 peratus kepada 99.371 mata apabila IJC menyusut kepada 198,000 minggu lepas berbanding anggaran konsensus sebanyak 215,000.

Hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat bagi tempoh dua tahun dan 10 tahun masing-masing meningkat sebanyak 3.7 dan 5.6 mata asas untuk ditutup kepada 3.57 peratus dan 4.17 peratus.

Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5547/5604 daripada 2.5594/5633 semasa ditutup semalam, mengukuh berbanding euro kepada 4.7034/7133 daripada 4.7167/7236, dan naik berbanding pound Britain kepada 5.4213/4327 daripada 5.4467/4548.

Mata wang tempatan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1456/1524 daripada 3.1491/1540 dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8967/9341 daripada 12.9096/9349 sebelum ini.

Ia tidak berubah berbanding peso Filipina kepada paras 6.81/6.83 dan hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 239.7/240.4 daripada 239.9/240.3 semasa ditutup semalam.

-- BERNAMA


#ringgit #dolar AS #KDNK suku keempat #Ringgit tinggi