KUALA LUMPUR:Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan dengan kecenderungan lemah berikutan dolar US yang diunjur terus mengukuh.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata unit negara maju itu memperoleh kekuatan berikutan peningkatan ketidaktentuan mengenai rang undang-undang rangsangan fiskal Amerika Syarikat (AS) yang dijangka hanya diluluskan selepas pilihan raya presiden AS pada 3 Nov; dan proses itu mungkin berlarutan sehingga awal tahun depan.

Pada masa yang sama, Indeks Dolar US telah meningkat daripada serendah 92.611 setakat 21 Okt kepada sekitar 93.031 pada masa ini.

Di peringkat tempatan, beliau berkata landskap politik turut mengalami "pelbagai isu menarik" dengan spekulasi kemungkinan berlakunya rombakan Kabinet dan kemungkinan pengumuman pelaksanaan darurat menjelang pembentangan Belanjawan 2021.

"Sehubungan itu, ringgit seharusnya bergerak antara RM4.14 dan RM4.15 pada minggu depan," katanya kepada Bernama.

Penganalisis pasaran FXTM Han Tan pula berkata, sekiranya pelabur terus berpegang kepada jangkaan bahawa pakej rangsangan fiskal AS akan dipersetujui beberapa hari menjelang pilihan raya itu, ia boleh memberikan tekanan menurun kepada dolar US.

"Bagaimanapun, sekiranya penghindaran risiko meningkat menjelang 3 Nov, ia mungkin menyaksikan dolar US melepaskan penyusutannya baru-baru ini," katanya.

Selain itu, pasaran akan memantau rapat pengumuman ekonomi utama beberapa negara terbesar dunia dalam beberapa hari akan datang seperti angka suku ketiga Keluaran Dalam Negara Kasar AS dan Kesatuan Eropah, serta keuntungan perindustrian China bagi September yang mungkin mewarnai sebahagian daripada keputusan pasaran.

Di peringkat tempatan pula, Tan berkata data eksport Malaysia bagi September yang akan dikeluarkan tidak lama lagi, dijangka menyaksikan peningkatan 3.8 peratus tahun ke tahun selepas mencatatkan penguncupan 2.91 peratus tahun ke tahun pada Ogos.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit merosot berbanding dolar US kepada 4.1500/1600 daripada 4.1470/1520 pada minggu sebelumnya.

Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0593/0678 daripada 3.0517/0556 pada Jumaat minggu lepas dan turun berbanding yen kepada 3.9664/9771 daripada 3.9409/9460.

Unit tempatan itu menyusut berbanding pound Britain kepada 5.4286/4434 daripada 5.3654/3735 pada minggu sebelumnya dan diniagakan lebih rendah berbanding euro kepada 4.9153/9288 daripada 4.8553/8628 sebelum ini.

-- BERNAMA