KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan dalam jajaran kecil hari ini antara paras 4.676 hingga 4.684 berbanding dolar AS ketika peserta pasaran menunggu pengumuman data inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) bagi bulan Februari pada lewat malam ini, kata seorang ahli ekonomi.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.6765/6800 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6805/6830 pada Isnin.

Dilaporkan bahawa inflasi di AS diunjur meningkat pada kadar tahunan 3.1 peratus pada Februari sama dengan kenaikan yang direkodkan pada Januari.

Kadar inflasi IHP teras, yang tidak termasuk harga makanan dan tenaga yang tidak menentu, diunjur turun kepada 3.7 peratus daripada 3.9 peratus pada tempoh yang sama.

Sementara itu, Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia mencatatkan prestasi lebih baik daripada jangkaan meningkat 4.3 peratus, mengatasi konsensus pasaran pada 2.0 peratus.

"Ini sudah pastinya memberikan gambaran bahawa ekonomi kita berada di landasan untuk mencapai pertumbuhan tinggi pada 2024 manakala dasar monetari Bank Negara Malaysia kekal menyokong ekonomi," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan naik berbanding pound Britain kepada 5.9808/9853 daripada 6.0107/0139 pada Isnin, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1718/1744 daripada 3.1923/1942 dan naik sedikit berbandin euro kepada 5.1114/1152 daripada 5.1181/1209 sebelumnya.

Unit tempatan juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara Asean lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.5133/5162 daripada paras penutup 3.5197/5218 pada Isnin dan naik berbanding baht Thai kepada 13.1436/1601 daripada 13.2229/2363.

Unit tempatan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 299.9/300.3 daripada 300.1/300.5 pada Isnin dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.45/8.46.

-- BERNAMA