Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini seiring dengan prestasi Bursa Malaysia, kata penganalisis.

Pada 5 petang, ringgit berada pada 4.3910/3960 berbanding dolar AS daripada 4.3890/3960 pada Rabu.

Pengurus Kanan Penyelidikan Bon dan Ekonomi Hong Leong Bank, Choong Yin Pheng, berkata penggantungan dagangan pasaran ekuiti China hari ini menyebabkan peserta pasaran menjadi lebih elak risiko.

"Unit tempatan turut menurun selari dengan penurunan harga minyak dan kebimbangan pelabur terhadap ekonomi China," katanya.

Harga minyak hari ini susut kepada US$32.62 setong, harga paling rendah dalam tempoh 11 tahun.

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0552/0606 daripada 3.0590/0645 semalam, dan meningkat berbanding pound kepada 6.4025/4107 daripada 6.4224/4335 pada Rabu.

Mata wang tempatan bagaimanapun lemah berbanding yen kepada 3.7342/7397 daripada 3.7019/7081 manakala berbanding euro, ringgit merosot kepada 4.7454/7521 daripada 4.7116/7200 sebelum ini.