KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan sentimen risiko bagi unit tempatan yang masih rapuh disebabkan oleh hasil tinggi Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), kata seorang ahli ekonomi.

Pada 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.7750/7795 daripada paras penutup 4.7710/7800 pada Khamis.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit berada pada jajaran RM4.7725 dan RM4.7850 berbanding dolar AS, manakala Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.073 peratus kepada 104.30 mata.

"Secara umumnya, sentimen pasaran adalah lemah, membawa kepada dolar AS yang tinggi. Masih belum pasti sama ada DXY akan meningkat lebih tinggi, namun data menunjukkan masih ada ruang untuk dolar AS terus naik," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, terdahulu hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak memandang ringan isu penurunan ringgit, malah mengambil langkah berterusan bagi menanganinya dan seiring usaha memastikan angka pelaburan Malaysia kekal utuh.

Beliau berkata bank pusat dipertanggungjawabkan untuk memantau ringgit secara rapi manakala di pihak kerajaan, semua kementerian dan pihak berwajib, termasuk majlis pelaburan turut mengadakan mesyuarat harian bagi memberi tumpuan menangani isu berkenaan.

"(Ya), penurunan ringgit itu membimbangkan. Kita melihat ke hadapan, namun berdasarkan angka pelaburan yang mana Malaysia mencatat rekod pelaburan terbesar dalam sejarah; inflasi terus menurun dan pertumbuhan adalah berdaya tahan berbanding negara-negara jiran.

"Bagi saya, kita perlu melihatnya dari perspektif secara menyeluruh dan keupayaan negara untuk mencatat pertumbuhan. Apa yang paling utama bagi saya adalah angka pelaburan yang menyakinkan," kata Perdana Menteri.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1677/1709 daripada paras 3.1764/1826 pada Khamis, naik berbanding pound Britain kepada 6.0437/0494 daripada 6.0468/0582 dan menokok berbanding euro kepada 5.1656/1705 daripada 5.1775/1873 sebelumnya.

Pada masa yang sama ringgit meningkat berbanding mata wang Asean lain.

Unit tempatan naik berbanding baht Thai kepada 13.2198/2381 daripada 13.3105/3404 pada Khamis, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.5489/5525 daripada 3.5578/5648 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 8.54/8.55 daripada 8.56/8.58.

Bagaimanapun, unit tempatan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 306.1/306.5 daripada 305.9/306.7 pada Khamis.

-- BERNAMA