BISNES
Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS

Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.2400/2490 berbanding dolar AS daripada 4.2395/2440 pada Rabu.
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah sedikit hari ini susut 0.01 peratus berbanding dolar AS apabila ia terus diniagakan defensif yang menyediakan sedikit sokongan teknikal terhadap unit tempatan itu.
Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.2400/2490 berbanding dolar AS daripada 4.2395/2440 pada Rabu.
Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit berada dalam tekanan terutamanya berikutan kebimbangan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mungkin mengekalkan kadar faedah lebih tinggi untuk tempoh lebih lama, ketika pasaran menilai semula prospek inflasi.
Beliau berkata pengukuhan dolar AS ketika ini mencerminkan bahawa para pelabur dan pasaran semakin tidak pasti sama ada Fed akan mengurangkan kadarnya pada September."Inflasi yang berterusan, didorong sebahagiannya oleh dinamik dalam sektor perkhidmatan dan kesan daripada tarif telah menyebabkan Fed mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
"Ringgit terus terdedah kepada peningkatan sementara dalam kadar pertukaran AS-Malaysia. Ini tidak semestinya melepasi jajaran 4.20-4.30 kerana unit tempatan masih berada dalam jajaran yang telah dijangkakan, namun ini boleh membawa kepada kecenderungan menurun," katanya.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit susut berbanding dolar AS pada sesi awal pagi kepada 4.2575 berikutan peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP) AS kepada 2.7 peratus pada Jun daripada 2.4 peratus sebelumnya
"Data terkini IHP AS nampaknya memberi gambaran bahawa Fed mungkin tidak cenderung untuk mengurangkan kadar dananya pada mesyuarat akan datang.
"Ringgit mengekalkan dagangan jajaran kecilnya berikutan ketidakpastian terhadap tarif AS," kata Mohd Afzanizam.
Pada penutup dagangan ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan mengukuh berbanding pound British kepada 5.6786/6907 daripada 5.7047/7107 pada Rabu, naik berbanding yen Jepun kepada 2.8508/8569 daripada 2.8702/8734, dan meningkat berbanding euro kepada 4.9248/9352 daripada 4.9539/9591.
Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Unit tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.2999/3071 daripada 3.3095/3133 pada Rabu, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 260.3/260.9 daripada 260.6/261.0, mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.43/7.45 daripada 7.47/7.49 dan menokok berbanding baht Thai kepada 13.0301/0630 daripada 13.0784/0988.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami