BISNES

Ringgit ditutup rendah selepas peningkatan lapan hari berturut-turut

Bernama 14/11/2025 | 12:43 MYT
Pada 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.1290/1345 berbanding dolar AS daripada 4.1260/1300 semasa ditutup pada Khamis. - Adobe Stock
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS hari ini berikutan pasaran mengalami pembetulan sederhana selepas mencatat peningkatan baru-baru ini walaupun data ekonomi domestik adalah menggalakkan.

Pada 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.1290/1345 berbanding dolar AS daripada 4.1260/1300 semasa ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peniaga mengambil keuntungan selepas mata wang tempatan meningkat dengan ketara sepanjang lapan hari dagangan lepas.

"Momentum kenaikan yang kukuh dalam sesi dagangan sebelum ini mungkin mendorong sebahagian peniaga untuk mengambil keuntungan mereka.

"Selain itu, seperti yang diumumkan hari ini, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 5.2 peratus pada suku ketiga 2025 yang seiring dengan jangkaan konsensus, terus menunjukkan momentum ekonomi yang stabil sekali gus menawarkan sokongan jangka sederhana kepada ringgit," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata pembukaan semula Kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat memberikan sedikit sokongan kepada dolar AS walaupun kesannya terhadap pasaran mata wang masih terkawal.

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen kepada 2.6690/6728 daripada 2.6700/6728 semasa ditutup pada Khamis tetapi merosot berbanding euro kepada 4.7983/8047 daripada 4.7928/7974 semalam dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.4313/4385 daripada 5.4282/4334 sebelum ini.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang itu mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.7356/7580 daripada 12.7724/7903 semasa ditutup semalam dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1720/1765 daripada 3.1729/1762.

Bagaimanapun, ia susut berbanding rupiah Indonesia kepada 247.1/247.5 daripada 246.6/247.0 semalam dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.99/7.00.

-- BERNAMA

#ringgit #nilai tukaran #mata wang #dolar AS