KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri pengukuhannya yang dicatat pada Jumaat lepas apabila ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang meningkat hari ini, didorong oleh data laporan penggajian bukan perladangan (NFP) minggu lepas yang menunjukkan prestasi lebih baik bagi sektor itu di negara berkenaan.

Pada 6 petang, ringgit turun ke paras 4.6805/6850 berbanding dolar AS daripada 4.6625/6665 yang dicatat pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata NFP yang mengatasi jangkaan awal itu berkemungkinan telah menyuntik sokongan terhadap dolar AS kerana turut membayangkan bahawa Rizab Persekutuan AS tidak akan mengubah pendirian menaikkan kadar faedah dalam masa terdekat ini.

"Selain itu, langkah Bank of Japan yang menegaskan pendirian dasar akomodatif ketara bagi negara itu juga mungkin turut menyumbang kepada pengukuhan dolar AS.

"Dalam persekitaran sedemikian, mata wang negara-negara sedang pesat membangun adalah lebih lemah berbanding dolar AS, termasuk ringgit. Kami beranggapan aliran sedemikian akan berterusan sehingga wujud keadaan lebih jelas dari segi hala tuju kadar faedah AS pada 2024," katanya kepada BERNAMA.

Beliau juga menjangkakan ringgit akan berada pada paras julat RM4.68 berbanding dolar AS dalam masa terdekat ini.

Sewaktu urus niaga ditutup hari ini, ringgit turut mencatat prestasi kurang memberangsangkan berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia susut berbanding pound Britain pada 5.8782/8839 daripada 5.8542/8593 pada akhir urus niaga Jumaat lepas dan susut berbanding euro pada 5.0414/0462 daripada 5.0243/0286, sebelum ini.

Selain itu, ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean lainnya.

Ringgit mendatar berbanding peso Filipina pada 8.41/8.42 berbanding Jumaat lepas pada 8.41/8.43, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.1103/1306 daripada 13.1933/2094, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 299.6/299.9 daripada 300.4/300.8 sebelum ini.

Selain itu, ringgit susut sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.4830/4866 daripada 3.4818/4853.

-- BERNAMA