Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar AS

Bernama
Januari 23, 2013 10:23 MYT
Ringgit ditutup tidak banyak berubah berbanding dolar AS berikutan kekurangan minat belian, kata para peniaga.
Pada 5 petang, ringgit disebut harga pada 3.0415/0445 berbanding dolar AS daripada 3.0400/0420 semalam.
Para peniaga berkata peserta pasaran kekal tidak memasuki pasaran menunggu petunjuk pilihan raya umum akan datang tetapi pembelian oleh pengimport menyokong ringgit.
"Tanpa petunjuk baharu ringgit/dolar AS dijangka diniagakan antara paras 3.03 dan 3.05," kata seorang peniaga.
Sementara itu, ringgit ditutup kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.
Ringgit rendah berbanding dolar Singapura pada 2.4784/4811 daripada 2.4776/4796 semalam dan susut berbanding yen kepada 3.4465/4510 daripada 3.4192/4234 pada Selasa.
Ia tidak banyak berubah berbanding pound British pada 4.8193/8249 daripada 4.8141/4185 pada Selasa dan berbanding euro, ringgit naik kepada 4.0443/0486 daripada 4.0551/0583 semalam.
#AS #dolar #pasaran dunia #ringgit #RM