Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Bernama
Januari 20, 2021 12:03 MYT
Pada penutup dagangan, unit tempatan berada pada 4.0430/0470 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0480/0520 pada Selasa. - bnm.gov.my
KUALA LUMPUR: Kenaikan harga minyak dan kelemahan dolar AS menyokong ringgit untuk ditutup lebih tinggi bagi hari kedua berturut-turut hari ini.
Pada penutup dagangan, unit tempatan berada pada 4.0430/0470 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0480/0520 pada Selasa.
Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata percampuran dasar antara kumpulan negara pengeksport minyak yang lebih besar, pengurangan pengeluarann OPEC + yang bergabung dengan fokus pentadbiran Joe Biden terhadap kesihatan awam serta langkah-langkah rangsangan ekonomi bagi menangani impak pandemik COVID-19, membayangkan harga minyak mampu meningkat lebih tinggi lagi.
"Saya menjangkakan harga minyak stabil pada paras semasa, mengambil kira perkembangan pemberian vaksin COVID-19. Kita seharusnya beransur-ansur kembali kepada persekitaran permintaan biasa, dan dengan itu harga minyak akan melambung tinggi," katanya.
Penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent naik 0.73 peratus dan didagangkan pada US$56.31 setong.
Bagaimanapun, ringgit terus melemah berbanding mata wang utama lain, kecuali euro.
Unit tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0490/0530 daripada paras 3.0443/0482 pada Selasa, susut berbanding pound kepada 5.5349/5412 daripada 5.5081/5140 dan turun berbanding yen kepada 3.8950/8996 daripada 3.8912/8962.
Bagaimanapun ringgit meningkat sedikit berbanding euro kepada 4.9025/9082 daripada 4.9058/9114.
-- BERNAMA
#AS #OPEC #ringgit #ekonomi #Joe Biden #pandemik #vaksin