Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Bernama
Februari 23, 2023 12:34 MYT
Pada 6 petang, unit tempatan naik kepada 4.4315/4365 berbanding dolar AS daripada 4.4420/4460 pada Rabu. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri penurunan selama dua hari berturut-turut untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Khamis berikutan sentimen pasaran tempatan yang lebih baik dalam persekitaran harga minyak mentah global yang tinggi, kata penganalisis.
Pada 6 petang, unit tempatan naik kepada 4.4315/4365 berbanding dolar AS daripada 4.4420/4460 pada Rabu.
Pada masa ini, harga penanda aras minyak mentah Brent meningkat 0.25 peratus kepada US$80.80 setong.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata sentimen pasaran tempatan lebih baik hari ini berikutan turun naik kadar AS yang akhirnya berhenti meningkat.
"Di Asia, ketiadaan data China berakhir minggu depan berikutan data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) China akan dikeluarkan pada 28 Feb, yang dijangka dicatatkan kukuh berdasarkan trend mobiliti yang kukuh di China.
"Saya berpendapat ini menyokong pasaran mata wang tempatan berikutan kenaikan hasil AS baru-baru ini yang mula berkurangan," katanya kepada Bernama.
Mengenai pembentangan semula Belanjawan 2023 esok, Innes berkata belanjawan itu boleh memberi rangsangan kepada sentimen tempatan jika ia pro-perniagaan, seperti yang dinyatakan oleh sebahagian ahli ekonomi.
Sementara itu, ringgit turut diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2855/2895 daripada 3.2935/2968 pada Rabu dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2990/3032 daripada 3.3157/3189 semalam.
Ia turut meningkat berbanding euro kepada 4.6943/6996 daripada 4.7258/7301 dan naik berbanding pound kepada 5.3311/3371 daripada 5.3655/3703 sebelum ini.
-- BERNAMA
#nilai ringgit #dolar AS #ekonomi malaysia #Bank Negara