KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan keyakinan pasaran yang lebih baik apabila pasaran menyaksikan aliran masuk dalam saham berkaitan semikonduktor yang memberi manfaat kepada Malaysia.
Ringgit kebanyakannya meningkat berbanding mata wang serantau namun rendah berbanding mata wang utama lain.
Advertisement
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 3.9505/9545 berbanding dolar AS daripada 3.9630/9670 semasa ditutup Jumaat lepas.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata mata wang tempatan mengukuh berikutan keyakinan yang kembali meningkat terhadap cadangan perdamaian Iran yang sedang dipertimbangkan oleh White House, yang membantu mengurangkan risiko geopolitik dan menyebabkan nilai dolar AS lemah.
"Kenaikan ringgit bukan sahaja didorong oleh perkembangan geopolitik, malah disokong oleh trend struktur yang lebih luas, terutama permintaan global yang kukuh untuk kuasa pengkomputeran dan infrastruktur kecerdasan buatan.
“Dalam keadaan ini, modal terus mengalir dalam ekonomi berkaitan semikonduktor, dan Malaysia dalam kedudukan yang baik untuk menerima manfaat daripada trend ini,” katanya.
Sementara itu, minggu ini turut menyaksikan beberapa keputusan dasar penting daripada Bank of Japan, Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), Bank Pusat Eropah dan Bank of England.
Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS akan diadakan pada 28 hingga 29 April.
Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan susut berbanding euro kepada 4.6387/6434 daripada 4.6312/6358 semasa ditutup pada Jumaat lepas, menyusut berbanding yen Jepun kepada 2.4810/4837 daripada 2.4808/4834 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.3525/3580 daripada 5.3429/3483 sebelum ini.
Pada masa sama, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang serantau.
Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.2129/2309 daripada 12.2183/2363 semasa ditutup Jumaat lepas, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 229.5/229.8 daripada 230.0/230.3 dan naik berbanding peso Filipina kepada 6.50/6.51 daripada 6.52/6.53 sebelumnya.
Bagaimanapun, mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1018/1052 daripada 3.1009/1043 semasa ditutup Jumaat minggu lepas.
-- BERNAMA