BISNES

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS susulan harga minyak kukuh

Bernama 23/10/2025 | 11:24 MYT
Pasangan dolar AS-ringgit dicatatkan pada RM4.23 semasa sesi pagi sebelum mengukuh sekitar RM4.22 pada lewat hari dagangan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini disokong harga minyak mentah yang lebih kukuh susulan kebimbangan mengenai bekalan selepas AS dan Kesatuan Eropah kenakan sekatan ke atas pengeluar minyak utama Rusia.

Pada 6 petang, ringgit mengukuh kepada 4.2250/2285 berbanding dolar AS daripada 4.2280/2325 ketika ditutup.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata berikutan Malaysia merupakan pengeksport bersih minyak dan gas, keadaan ini memberi kelebihan kepada ringgit yang diniagakan pada paras lebih baik hari ini.

"Harga minyak mentah Brent naik kepada AS$64.73 setiap tong susulan sekatan yang membangkitkan kebimbangan mengenai gangguan bekalan.

"Sementara itu, pasangan dolar AS-ringgit dicatatkan pada RM4.23 semasa sesi pagi sebelum mengukuh sekitar RM4.22 pada lewat hari dagangan," katanya kepada Bernama.

Beliau menambah mata wang serantau menunjukkan prestasi bercampur-campur kerana para peniaga mencerna perkembangan terkini termasuk ketidaktentuan yang disebabkan oleh penutupan kerajaan AS waktu ini yang mengehadkan akses kepada data penting menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 28-29 Oktober.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.8976/9017 daripada 4.9019/9072 dan menokok berbanding yen Jepun kepada 2.7687/7712 daripada 2.7849/7880 ketika ditutup pada Rabu.

Sementara itu, ia melemah berbanding pound Britain kepada 5.6395/6442 daripada 5.6309/6368.

Mata wang tempatan juga diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang ASEAN.

Ia melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.2513/2542 daripada 3.2556/2593 berkembang berbanding peso Filipina kepada 7.21/7.22 daripada 7.23/7.25 dan bertambah baik berbanding rupiah Indonesia kepada 254.0/254.4 daripada 254.9/255.3 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia sedikit menurun berbanding baht Thai kepada 12.8772/8937 daripada 12.8573/8769.


-- BERNAMA

#ringgit #nilai tukaran wang #dolar AS #mata wang asing #harga minyak mentah