KUALA LUMPUR: Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) menjangkakan ringgit akan stabil menjelang akhir Ogos susulan dolar AS menyusut semula selepas mengukuh sebelum ini berikutan Rizab Persekutuan AS (Fed) memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat Julainya.
Dalam tinjauan ekonominya, bank pelaburan itu berkata ringgit meneruskan penyusutan bulan sebelum ini, dengan turun 0.3 peratus lagi pada Julai kepada purata 4.08 berbanding dolar AS (Jun: 4.07 bagi setiap dolar AS).
“Ringgit kebanyakannya didagangkan dalam julat unjuran kami iaitu 4.07-4.10 berbanding dolar AS.
“Ini berikutan ketegangan yang meningkat di Asia Barat dan harga tenaga yang lebih tinggi menyokong dolar AS, manakala data inflasi AS dan pasaran buruh yang lebih lemah mengurangkan jangkaan bahawa Fed akan meneruskan dasar monetari lebih agresif,” katanya.
Mengenai mata wang serantau, Kenanga IB berkata kesemua mata wang ASEAN-5 melemah berbanding dolar AS apabila indeks dolar AS meningkat kepada 100.9 pada Julai (Jun: 100.3).
Baht Thailand mencatat penyusutan terbesar iaitu 1.8 peratus, diikuti peso Filipina (0.7 peratus), rupiah Indonesia (0.6 peratus), ringgit Malaysia (0.3 peratus) dan dolar Singapura (0.2 peratus).
Ketegangan geopolitik yang kembali memuncak dan harga tenaga yang lebih tinggi terus meningkatkan permintaan terhadap dolar AS sebagai aset selamat, manakala inflasi AS yang lebih rendah dan jangkaan Fed meneruskan penangguhan kenaikan kadar faedah mengehadkan pengukuhan dolar AS secara lebih meluas menjelang akhir bulan.
Sementara itu, Kenanga IB berkata rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) susut AS$0.5 bilion kepada AS$132.1 bilion setakat 31 Julai 2026, penurunan pertama dalam tempoh empat bulan.
Menurutnya, penyusutan itu didorong terutamanya oleh penurunan rizab pertukaran asing (FX).
Rizab mata wang asing susut AS$0.4 bilion kepada AS$116.8 bilion, berkemungkinan mencerminkan aliran keluar dana asing yang ketara daripada pasaran bon domestik.
Pada masa sama, rizab FX bersih susut kepada AS$81.3 bilion pada Jun (Mei: AS$83.4 bilion), terutamanya disebabkan peningkatan mendadak dalam kedudukan jual bersih (-AS$27.2 bilion).
Pegangan aset rizab lain pula susut AS$0.1 bilion kepada AS$2.2 bilion, manakala emas, hak pengeluaran khas (SDR) dan kedudukan rizab dalam Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kekal secara relatif tidak berubah.
Mengenai prospek dasar monetari, Kenanga IB menjangkakan BNM mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sepanjang 2026 susulan inflasi asas yang terkawal dan pertumbuhan ekonomi yang kekal berdaya tahan.
“Peningkatan Indeks Harga Pengeluar (PPI) perlu dipantau rapi bagi mengesan tanda-tanda limpahan kepada Indeks Harga Pengguna (IHP), namun kami menjangkakan sebarang tekanan kos kekal terkawal.
“Melainkan wujud tekanan inflasi pusingan kedua yang lebih meluas, BNM berkemungkinan tidak akan memberi respons terhadap kejutan bersifat sementara yang didorong faktor penawaran dan sebaliknya mengutamakan kestabilan dasar,” katanya.
-- BERNAMA